Artikel Terkini

Minyak mentah Brent dijangka meningkat kepada AS$68 setong akhir 2020



KUALA LUMPUR: Harga minyak mentah penanda aras global, Brent dijangka naik kepada AS$68 (AS$1=RM4.16) setong menjelang akhir 2020 berbanding AS$64 setong pada Rabu berikutan momentum pertumbuhan global yang meningkat.

Ahli Ekonomi OCBC Bank Howie Lee berkata perjanjian perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China dijangka masih menjadi pemacu utama kepada harga pada tahun depan, menunjukkan harga akan terus tidak menentu.

“Trajektori meningkat harga minyak tidak akan lancar pada tahun depan. Pilihan Raya Presiden AS dijangka menjana lebih banyak turun naik daripada kempen Presiden Donald Trump.

“Kebimbangan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan ahli-ahli bukan OPEC mengenai bekalan bagi 2020 bermakna elemen risiko bekalan ditambah dalam pasaran menjelang tahun baru,” katanya dalam laporan Prospek Komoditi 2020 bank itu pada Rabu.

Beliau berkata gelombang pergolakan politik di seluruh dunia pada 2019 mungkin memberi kesan penularan apabila bantahan bukan sekular boleh merebak di Timur Tengah dan Amerika Latin.

Sementara itu, mengulas mengenai minyak sawit, Lee berkata harga dijangka kekal tinggi dalam tempoh terdekat tetapi pembetulan dijangka bermula dari suku kedua dan seterusnya dan akhirnya harga akan berada pada RM2,600 satu tan pada tahun depan.

Beliau berkata faktor-faktor, iaitu wabak demam selesema babi Afrika di China, pelaksanaan biodiesel B30 di Indonesia mulai Januari 2020 dan pengeluaran rendah menyebabkan harga sawit ditutup hampir RM3,000 satu tan.

“Pasaran biasanya memerlukan tempoh enam bulan untuk membetulkan ketidakseimbangan penawaran-permintaan dan ini menunjukkan harga dijangka terus meningkat hingga suku pertama 2020, sebelum membetulkan dari suku kedua 2020 dan seterusnya.

“Perjanjian perdagangan dan selesema babi di China dijangka rendah untuk sawit,” katanya.

Sementara itu, bagi prospek kacang soya, harga dijangka naik kepada AS$9.50 satu busyel berbanding AS$8.99 satu busyel hari ini berikutan inventori kacang di China semakin rendah berikutan permintaan yang rendah disebabkan selesema babi dan bekalan yang berkurangan.

Laporan itu turut mengunjurkan emas dijangka terus diniagakan antara AS$1,450 satu auns dan AS$1,500 satu auns pada suku pertama 2020.

Lee berkata tarikan emas semakin berkurangan berikutan hasil Perbendaharaan yang meningkat semula dan ekonomi global yang stabil serta pulangan hasil Perbendaharaan untuk tempoh 10 tahun melebihi 1.9 peratus mempunyai potensi menyebabkan harga emas di bawah US$1,450 satu auns.

“Tekanan jualan dijangka meningkat dari suku kedua 2020 dan seterusnya, dengan harga mempunyai potensi merosot kepada AS$1,400 satu auns,” katanya.

Lee berkata permintaan fizikal China dan India terhadap emas dijangka meningkat pada 2020 berikutan mata wang yang mengukuh, tetapi dijangka menyediakan perlindungan yang terhad kepada sebarang potensi jualan.

— BERNAMA





Source link

Related Posts