Artikel Terkini

Minyak sawit kembali curi perhatian



KUALA LUMPUR: Minyak sawit kembali mencuri perhatian. Kali ini, atas sebab lain.

Ia berlaku dalam satu pertandingan menggoreng muruku, kudapan terkenal masyarakat India menjelang sambutan Deepavali.

Dua puluh orang menggunakan 100 peratus minyak sawit Malaysia untuk menggoreng makanan ringan berasaskan tepung itu pada Rabu di Karnival Deepavali di Bukit Jalil, di sini anjuran Agenda Suria Communication Sdn Bhd dengan kerjasama Majlis Minyak Sawit Malaysia.

Pertandingan itu diadakan untuk mendidik dan menimbulkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai kelebihan minyak sawit dan bagaimana untuk menggunakannya dalam pelbagai cara, kata Jaggarao Simancha, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Agenda Suria Communication.

“Kami bersama-sama Majlis Minyak Sawit Malaysia juga mahu menyampaikan satu mesej sejagat bahawa minyak sawit Malaysia adalah selamat, bersih dan menyihatkan untuk manusia,” katanya kepada Bernama.

Pertandingan itu juga bagi menyokong kempen Kementerian Industri Utama “Love MY Palm Oil” untuk menentang lobi anti minyak sawit yang merupakan satu ancaman kepada kehidupan rakyat, katanya.

Karnival Deepavali yang bermula dari 18 Okt dan akan berakhir Sabtu ini, menyediakan tawaran menarik kepada pengunjung, terutamanya masyarakat India.

Banyak gerai disediakan di parkir terbuka yang ditransformasikan kepada lautan warna dan lampu hiasan.

Jaggarao berkata 450 gerai telah disediakan oleh pempamer dari Malaysia, India dan Pakistan menawarkan pakaian, sari, barang kemas, barang perhiasan dan kuih tradisional.

“Daripada 450 gerai, 65 peratus diusahakan oleh usahawan tempatan dan 35 peratus oleh peniaga asing. Antara 400,000 hingga ke 500,000 pelawat dijangka berkunjung ke karnival ini membeli-belah,” katanya.

Penganut Hindu di seluruh dunia akan menyambut Deepavali pada 27 Oktober ini bagi meraikan kemenangan kebaikan ke atas kejahatan.

Festival Cahaya ini disambut pada Saturthasi Tithi, hari ke-14 bulan Lypasi, berdasarkan Kalendar Panjangam Hindu, setiap tahun.

— BERNAMA





Source link