Artikel Terkini

Moodys nilai semula kapasiti kerajaan beri sokongan



KUALA LUMPUR: Moody’s Investors Service (Moody’s) kini dalam proses menilai semula penilaiannya terhadap kapasiti kerajaan menyediakan aspek sokongan yang digambarkan menerusi penarafan berdaulat dan komitmen menyalurkan dana awam bagi menyokong institusi kewangan tertentu.

Dalam kenyataan hari ini, ia berkata ini berdasarkan insiden kegagalan bank yang berlaku dalam semua pasaran di bawah tinjauan firma itu di Asia Pasifik, kecuali di Singapura.

“Oleh itu, kami tidak menganggap semua bank yang bermasalah akan menerima bantuan sewajarnya secara automatik daripada kerajaan masing-masing bagi mengelak ditutup,” kata Moody’s.

Malah, firma itu menyifatkan penilaiannya turut mengambil kira potensi evolusi dalam sokongan kerajaan ketika pihak pengawal selia mendapat lebih banyak kuasa atau mekanisme untuk menangani institusi kewangan bermasalah, atau ketika perubahan persekitaran politik bagi mewajarkan kegagalan sedemikian dan kerugian kredit pemiutang.

“Ini meningkatkan lagi kemungkinan bahawa pihak berkuasa di rantau Asia Pasifik ini akan menyelesaikan (masalah) institusi kewangan mengikut cara berbeza berbanding krisis sebelumnya dalam mewajarkan penilaian semula kami terhadap andaian sokongan kerajaan itu,” katanya.

Sebelum ini, bank-bank bermasalah seperti Sime Bank dan Bank Bumiputra serta syarikat-syarikat kewangan di Malaysia telah digabungkan dan menjadi kumpulan perbankan beberapa tahun selepas berlakunya krisis kewangan Asia.

Moody’s berkata pihak berkuasa Asia Pasifik juga secara perlahan-lahan melakukan pembaharuan terhadap aspek penyelesaian bagi institusi kewangan.

Pembaharuan ini tidak hanya terhad kepada bank-bank namun lebih bertumpu kepada institusi terbabit.

“Malah bagi bank-bank pun, hanya kemajuan yang sederhana dicatatkan sejak November 2017 apabila kami mengeluarkan laporan mengenai pembaharuan resolusi bank-bank Asia Pasifik.

“Langkah itu setakat ini tidak memaparkan perubahan penting dalam pendekatan resolusi atau kemungkinan besar sokongan kerajaan terhadap bank-bank pemiutang,” katanya.

Dalam sebahagian besar bidang kuasa rantau Asia Pasifik, pihak berkuasa masih kekurangan kuasa perundangan bagi menyelamatkan syarikat pemiutang walaupun boleh berbuat demikian dengan menggunakan kuasa untuk memindahkan aset dan liabiliti tertentu.

Ini memberi mekanisme yang efektif dan fleksibel bagi mencapai aspek perkongsian bebanan dengan jumlah pelabur lebih besar, sekali gus mengurangkan penggunaan dana awam ketika tiada rejim menyelamat rasmi dilaksanakan.

“Banyak pihak pengawal selia telah menyatakan hasrat untuk mengurangkan kesan moral yang membabitkan usaha menyelamat secara menyeluruh.

“Bagaimanapun, (pada masa sama) mereka turut berdepan risiko bahawa perkongsian bebanan itu boleh membawa kepada gangguan pasaran dan perniagaan di bank-bank lain (akibat kesan yang berlanjutan),” kata Moody’s





Source link

Related Posts