Artikel Terkini

Moratorium: HSBC Malaysia umum keuntungan atau faedah bukan kompaun



KUALA LUMPUR: HSBC Malaysia, yang merangkumi HSBC Bank Malaysia Bhd serta HSBC Amanah Malaysia Bhd, menawarkan langkah tambahan bagi pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bank itu, melangkaui bantuan Bank Negara Malaysia (BNM) yang diumumkan pada Rabu. 

Tambahan itu, katanya membabitkan faedah untuk pinjaman konvensional termasuk keuntungan ke atas pembiayaan Islam tidak akan dikompaun dalam tempoh moratorium.

Ini adalah sebahagian daripada moratorium automatik yang ditawarkan untuk membantu pelanggan yang terjejas oleh wabak COVID-19, kata HSBC dalam satu kenyataan.

BNM mengumumkan penangguhan enam bulan untuk semua pinjaman atau pembayaran balik pembiayaan bermula pada bulan depan, meliputi semua pinjaman dalam ringgit, yang tidak tertunggak selama lebih daripada 90 hari pada 1 April.

Bagaimanapun, faedah atau keuntungan akan terus terakru ke atas pembayaran balik yang tertunda, yang mesti diiktiraf pada masa akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Bank Malaysia, Stuart Milne berkata bank akan terus menyokong Malaysia dan memantapkan komitmennya yang tidak berbelah bahagi dalam usaha membantu komuniti mengharungi masa yang sukar.

“Kami bersimpati dengan semua pihak yang terpaksa melalui masa yang mencabar di sini, berikutan wabak COVID-19 dan oleh itu, kami telah mengambil keputusan untuk pelanggan runcit dan PKS agar kedua-dua faedah membabitkan pinjaman konvensional dan keuntungan pembiayaan Islam tidak akan dikompaunkan dalam tempoh moratorium. 

“Kami berharap usaha proaktif ini akan membantu meringankan bebanan kewangan mereka,” katanya.

Berbanding dengan langkah yang diumumkan BNM, faedah masih akan terakru dan dikompaunkan ke atas pinjaman konvensional (tidak termasuk pinjaman sewa beli) tetapi keuntungan daripada pembiayaan secara Islam terakru tetapi tidak dikompaunkan.

Untuk pelanggan korporat, HSBC akan membuat kajian semula berdasarkan kes tertentu dan menggalakkan mereka menghubungi bank melalui pengurus perhubungan mereka.

“Sila ambil perhatian bahawa hanya akaun tidak terjejas sahaja yang layak untuk moratorium. Moratorium ini terpakai kepada semua pinjaman/pembiayaan tertunggak pada 1 April 2020. 

“HSBC Malaysia akan terus berunding dengan BNM apabila kami menilai inisiatif selanjutnya untuk menghulurkan bantuan kepada pelanggan individu dan komersial dalam tempoh mereka melalui cabaran kewangan mereka. Kami sedia memberikan bantuan komprehensif kepada pelanggan yang memerlukan,” tambahnya lagi.

Maklumat lanjut dan butiran akan disediakan menjelang 1 April. Pelanggan runcit boleh merujuk kepada a href=”http://www.hsbc.com.my/help/coronavirus/”www.hsbc.com.my/help/coronavirus//a dan pelanggan PKS boleh menghubungi pengurus perhubungan mereka untuk perkembangan terbaharu.

BERNAMA





Source link

Related Posts