Artikel Terkini

Mudah Saja DIY Racun Organik Halau Serangga Perosak Daun


Serangan dari serangga perosak sememangnya menjadi isu yang sering mengganggu ketenteraman para petani. Masakan tidak, masalah tersebut mampu mengundang risiko kerugian, malah boleh menutup periuk nasi mereka.

Begitu juga buat yang bercucuk tanam di rumah. Kehadiran serangga perosak dianggan sebagai satu permasalahan yang perlu diselesaikan segera agar tanaman tidak terjejas dan menyebabkan kerugian dari hasil titik peluh sendiri.

Penggunaan racun merupakan solusi paling mudah dan berkesan. Tetapi, pemilihan racun juga memainkan peranan dan boleh memberi kesan dalam jangka masa yang panjang.

Antara racun kimia dan racun organik, mana satu pilihan anda?

Selain harganya yang agak mahal, racun kimia juga merbahaya buat manusia dan persekitaran.

Jadi, bukankah lebih baik untuk menggunakan racun organik yang lebih terjamin dan juga menjimatkan kerana anda boleh buat sendiri racun organik mengikut resepi ini. Selamat Mencuba!

Resipi Racun Organik

Bahan A :

  1. Bawang putih – 1 labu
  2. Cili padi – 6 biji
  3. Air – 500 mL (satu botol minuman biasa)

Setelah kisar semua bahan A, peram selama 24 jam.

Bahan B :

  1. Minyak masak (apa-apa jenis minyak masak pun boleh) – 1 sudu makan
  2. Sabun pencuci pinggan (tak kisah jenama apa pun) – 1 sudu teh

Alatan yang diperlukan :

  1. Penapis
  2. Penyembur – 1.5 L

(Boleh juga beli alatan di sini)

Cara-caranya :

  1. Kisar semua bahan A dalam pengisar (blender).
  2. Seterusnya tapis bahan A dan ambil patinya. Hampas kisaran boleh dibuang pada pangkal pokok untuk dijadikan baja
  3. Simpan pati di dalam bekas dan masukkan ke dalam peti ais untuk tahan lama

Cara Penggunaan :

  1. Masuk 100 ml pati dan bahan B ke dalam penyembur
  2. Isi air penuh botol penyembur (1.5 L)
  3. Goncang sehingga semua bahan sebati
  4. Sembur sampai basah daun terutama bawah daun dengan kadar tiga hari sekali pada pokok bermasalah.
  5. Jika pokok tiada masalah serangga, sembur seminggu sekali sebagai kawalan.

Cuma sedikit peringatan. Sembur sikit dahulu pada satu pokok. Ini kerana ada pembaca Kebun Bandar yang melaporkan apabila sembur ramuan racun organik ini pada pokoknya menjadi layu. Jika pokok layu, terus siram dengan air biasa sehingga hilang cecair racun organik ini pada pokok.

 

Kredit : kebunbandar.com



Source link