Artikel Terkini

My Sekolah Sejahtera bantu mudahkan sekolah patuhi SOP



KUALA LUMPUR: Sistem My Sekolah Sejahtera yang dibangunkan StudentQR tidak akan memberi kerja tambahan kepada guru sebaliknya ia memudahkan sekolah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif StudentQR, Syed Huzaifah Syed Omar berkata, sistem yang diberikan secara percuma itu akan memendekkan masa merekod maklumat setiap pelajar yang hadir ke sekolah.

“Kita nak guru fokus kepada pembelajaran, mengajar di kelas tapi kerja pengkeranian yang membebankan inilah yang menyusahkan, mengganggu kerja harian mereka.

“Kita nak beri kemudahan kepada mereka, kepada sekolah supaya guru fokus kepada pembelajaran dan yang menguruskan data ini biarlah sistem StudentQR atau My Sekolah Sejahtera yang buat,” katanya ketika ditemubual Astro AWANI menerusi Skype pada Sabtu.

Menurutnya, dengan sistem tersebut, hanya beberapa saat diperlukan untuk merekod kehadiran pelajar dan ia jauh lebih pantas daripada dilakukan secara manual.

My Sekolah Sejahtera merupakan sistem dibangunkan StudentQR untuk membantu sekolah mematuhi SOP ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menerusi sistem itu, semua pelajar mempunyai kod QR mereka sendiri dan guru akan mengimbas kod tersebut dan segala data akan disimpan dalam aplikasi berkenaan.

Tambah Syed Huzaifah, dia ada menerima aduan daripada pihak sekolah mendakwa mereka agak sukar untuk mematuhi SOP kerana sistem tidak begitu mencukupi.

“Sistem yang ada sekarang memerlukan pelajar imbas kod menggunakan telefon pintar tapi ada pelajar yang tiada telefon itu. Dalam sistem ini, kita beri sekolah supaya mereka dapat hasilkan satu kod QR untuk setiap pelajar.

“Sistem yang kita bangunkan ini dapat membantu supaya sekolah dapat rekodkan kehadiran dan suhu setiap pelajar, guru dan juga pelawat,” ujarnya.





Source link