Artikel Terkini

MyCV labur RM214.24 juta tanpa kelulusan Kementerian Kewangan



KUALA LUMPUR: MyCreative Ventures Sdn Bhd (MyCV), syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan) telah melabur sejumlah RM214.24 juta bagi program Private Debt dan Private Equity tanpa kelulusan Kementerian Kewangan.

Program Private Debt ialah pemberian pinjaman dan pelaburan saham dalam syarikat industri kreatif berkelayakan manakala program Private Equity merupakan pelaburan ekuiti kepada syarikat industri kreatif yang berada pada peringkat awalan dan melepasi proses usaha yang wajar ditetapkan MyCV.

Menurut Jabatan Audit Negara dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 Siri 1 bagi Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan, program Private Debt didapati tiada penetapan hasil dibuat bertujuan penilaian keberkesanan program.

Malah kontrak perjanjian program CENDANA lewat disediakan bagi skop kerja tenaga kerja perkhidmatan dalaman dan tiada kontrak dibuat bagi skop kerja aktiviti penyumberan luar.

“Bagi membolehkan objektif penubuhan MyCV dicapai dan memantapkan prestasi tadbir urus syarikat, pihak pengurusan dan Lembaga Pengarah MyCV perlu mengambil langkah proaktif dan berkesan untuk menambah baik perkara yang dibangkitkan,” menurut laporan itu.

Mengenai prestasi pembiayaan bagi program Private Debt, katanya sehingga Dis 2018, program itu diuruskan dengan cekap kerana dua petunjuk prestasi utama yang ditetapkan iaitu bilangan kelulusan permohonan dan jumlah pembiayaan mencapai purata sebanyak 109.3 pertus dan 111.1 peratus, masing-masing bagi tempoh 2016 hingga 2018.

Prestasi penyaluran dana pinjaman kepada syarikat juga diuruskan dengan berkesan kerana sebanyak 94 syarikat (77.7 peratus) daripada 121 syarikat yang diluluskan permohonan dan menerima dana pembiayaan.

“Bagaimanapun, pencapaian hasil bagi program Private Debt tidak dapat dinilai kerana MyCV tidak menetapkan hasil yang perlu dicapai dan hasil soal selidik pihak Audit mendapati program yang dijalankan MyCV berjaya membantu pertumbuhan dan pembangunan syarikat dalam industri kreatif negara,” katanya.

Sementara itu, pencapaian program Private Equity tidak dapat diukur kerana dana berjumlah RM50 juta yang diterima pada 30 Nov 2016 masih tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan pelaksanaan program itu yang sepatutnya beroperasi pada 1 Julai 2017 tidak dapat dilaksanakan kerana MyCV masih dalam proses pemilihan syarikat.

MyCV yang ditubuhkan pada April 2012, berperanan menjalankan perniagaan modal teroka dengan tujuan melabur dalam syarikat kreatif tempatan yang berdaya maju bagi pertumbuhan industri kreatif negara.

— BERNAMA





Source link

Related Posts