Artikel Terkini

Nak Buat Pengeluaran Wang Dalam KWSP? Boleh Saja Untuk 18 Perkara Ini


Bila mencarum dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ini, banyak juga kebaikannya, sama ada yang bekerja swasta atau yang bekerja sendiri.

Jika harap kumpul sendiri kemungkinan besar duit itu akan dibelanjakan. Tambahan pula KWSP ini perlu dicarum oleh majikan juga.

Bila ada wang KWSP, ramai berimpian akan dapat duit segedebuk banyak apabila mencecah usia bersara nanti. Jika betul banyak, Alhamdulillah tapi kalau sikit memang perlu dirisaukan juga.

Baik, ini adalah beberapa perkara yang membolehkan wang KWSP kita dikeluarkan iaitu:

1. Pengeluaran Umur 50 Tahun

Pengeluaran kesemua atau sebahagian simpanan dari Akaun 2 apabila sudah mencecah usia 50 tahun.

2. Pengeluaran Umur 55 Tahun

Pengeluaran sebahagian atau kesemua wang KWSP apabila mencapai umur 55 tahun.

3. Pengeluaran Umur 60 Tahun

Pengeluaran ini bagi mereka yang bersara pada usia 60 tahun. Bagi pengeluaran ini juga boleh dikeluarkan kesemua sekali atau keluarkan sebahagian setiap bulan.

Contoh RM2000 setiap bulan atau membuat auto debit bayaran bulanan sebanyak RM1,000 sebulan, RM12,000 setahun atau gabungan pengeluaran bayaran bulanan dan simpanan.

4. Pengeluaran Selesaikan atau Kurangkan Bayaran Baki Rumah

Boleh guna Akaun 2 KWSP untuk bayaran baki pinjaman, samada perumahan dibuat diri sendiri atau pembelian secara bersama.

5. Pengeluaran Hilang Upaya

Boleh dikeluarkan kesemua simpanan sekiranya ahli tidak berupaya daripada segi fizikal, mental atau kehilangan fungsi untuk melakukan pekerjaan.

6. Pengeluaran Meninggalkan Negara

Bagi mereka yang melepaskan taraf warganegara Malaysia untuk berhijrah ke negara lain atau bukan warganegara Malaysia yang sudah berhenti kerja dan ingin meninggalkan Malaysia.

7. Pengeluaran Pendidikan

Membiayai yuran pengajian ahli atau anak dengan menggunakan Akaun 2. Ini termasuk anak jagaan sama ada anak tiri atau anak angkat di IPT di dalam atau luar negara.

8. Pengeluaran Pekerja Berpencen dan Pengeluaran Pesara Pilihan

Bagi ahli yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam dan diberi taraf pekerja berpencen, mereka dapat mengeluarkan kesemua simpanan bahagian pekerja dan bahagian majikan akan dikembalikan kepada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

9. Skim Pelaburan Ahli

Ahli boleh melabur menggunakan akaun 1 KWSP bagi menambah dan meningkatkan simpanan KWSP. Ahli boleh melabur tidak lebih daripada 30% jumlah simpanan asas dalam Akaun 1 menggunakan khidmat dari mana-mana Institusi Pengurusan Dana (IPD) yang dilantik.

10. Pengeluaran Membina/Membeli Rumah

Boleh dikeluarkan melalui Akaun 2 untuk pembiayaan membina rumah atau untuk membeli rumah. Ini membolehkan setiap ahli memiliki sekurang-kurangnya sebuah rumah sebagai tempat perlindungan apabila bersara nanti.

11. Pengeluaran Simpanan Melebihi RM1 Juta

Kepada ahli yang mempunyai simpanan melebihi RM1.05 juta boleh keluarkan lebihan simpanan untuk diuruskan sendiri dan disimpan di tempat lain.

12. Pengeluaran Ansuran Bulanan Pinjaman Perumahan

Pengeluaramn KWSP simpanan Akaun 2 untuk membiayai ansuran bulanan pinjaman perumahan bagi tujuan pembelian atau pembinaan rumah.

13. Pengeluaran Kematian

Pengeluaran penuh oleh waris atau pentadbir pusaka apabila berlaku kematian ke atas ahli KWSP.

14. Pengeluaran Kesihatan

Boleh dikeluarkan menggunakan Akaun 2 KWSP untuk membiayai kos rawatan perubatan penyakit kritikal atau pembelian peralatan bantuan kesihatan yang diluluskan oleh KWSP.

15. Pengeluaran Haji

Hanya boleh dikeluarkan untuk menampung kos asas mengerjakan Haji dan bukan kos kesemuanya. Pengeluaran RM1,300 sehingga RM3,000 akan disalurkan ke Tabung Haji sebagai bayaran booking untuk mengerjakan Haji akan datang.

16. Pengeluaran Perumahan Fleksibel

Pengeluaran perumahan dari Akaun 2 ini bagi membolehkan ahli mendapatkan pinjaman perumaham lebih tinggi untuk membina atau membeli rumah.

17. Pengeluaran Perumahan PRIMA

PRIMA Housing at Alam Damai Kuala Lumpur

Skim Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) menggalakkan rakyat Malaysia sekurang-kurangnya memiliki sebuah rumah untuk kegunaan pencarum.

18. i-Lestari

Pengeluaran oleh ahli melalui Akaun 2 KWSP dengan minimum RM50 sehingga maksimum RM500 berikutan pandemik COVID-19. Ianya bagi membantu mereka yang terjejas sumber pendapatan. Ia hanyalah bersifat sementara sahaja, bermula April 2020 dan akan berakhir Mac 2021.

Artikel ditulis oleh Puan Sarah Hata. Penulis merupakan seorang konsultan kewangan (pelaburan, takaful dan wasiat) di sebuah institusi kewangan di Malaysia dan juga perunding imej. Mempunyai pengalaman menulis, memberi ceramah di beberapa syarikat seluruh Malaysia dan juga sesi konsultansi individu

Sumber Rujukan: https://www.kwsp.gov.my/ms/member/withdrawals



Source link