Artikel Terkini

Nak Elak Beri Hutang Kat Orang? Boleh Amalkan 7 Cara Ini


“Cerita zaman sekarang, Kau yang guna duit orang, Pabila pecah tembelang, Lari lintang pukang, Kau tak mampu bayar sekupang-pang (alakazam)” begitulah lirik lagu bertajuk “Hutang” oleh Floor 88.

Liriknya sangat catchy dan fun. Budak-budak bawah umur 12 tahun pun ikut nyanyi, siap hafal lagi.

Kenapa manusia berhutang?

Faktor utama mungkin tiada pilihan lain, sedang dilanda musibah atau didorong oleh desakan tertentu. Usah rasa bersalah jika kita mengelak daripada memberi hutang terutamanya kepada rakan-rakan atau keluarga sendiri.

Namun apa yang kita boleh buat apabila orang meminta untuk berhutang? Boleh ikut 7 cara ini:-

1. Nyatakan Prinsip Hidup

Sekiranya prinsip hidup kita tak nak beri hutang kepada sesiapa pun, maka mudah untuk katakan tidak. Malah ia takkan jadi alasan untuk kita ubah fikiran di kemudian hari untuk katakan ya.

Lama-kelamaan rakan-rakan atau keluarga akan faham dan tidak lagi bertanya untuk meminjam duit anda kerana sudah ada prinsip hidup tidak suka memberi hutang.

2. Berterus Terang Lebih Baik

Berterus terang itu sukar untuk diluahkan namun itulah cara yang terbaik. Bak kata pepatah “Ditelan mati emak, diluah mati bapa”.

Kita tak perlu cerita panjang lebar pasal status kewangan terkini hanya semata-mata nak elak beri hutang. Ayat-ayat pendek di bawah tidak terlalu biadab malah sudah memadai supaya orang lain faham dengan keputusan anda :-

“Maaf, tetapi buat masa sekarang aku tak dapat pinjamkan duit.’

“Aku harap kau maafkan aku ya, tapi tak boleh.”

“Aku berharap dapat tolong tetapi aku bukan orang yang sesuai untuk pinjamkan duit.”

“Ia menyalahi prinsip hidup aku yang tak suka meminjamkan duit.”

3. Ambil Masa Untuk Buat Keputusan

Adakalanya rakan-rakan atau keluarga terlalu mendesak untuk meminjam duit kita melalui perbualan telefon, mesej, atau emel. Rasa tertekan pun ada.

Jangan risau kerana kita berhak diberi tempoh masa untuk berfikir dan buat keputusan. Mereka akan faham jika anda perlukan tempoh 1-2 hari untuk buat keputusan yang terbaik.

Jangan letak diri anda dalam keadaan yang makin sukar untuk katakan tidak.

4. Elak Dedah Status Kewangan

Kadang-kadang media sosial seperti Facebook dan Instagram menjadi platform untuk tayangkan kemewahan atau kebahagiaan. Elakkan daripada mendedah status kewangan seperti bercuti ke luar negara, menderma kepada rumah anak yatim atau fakir miskin dan jumlah duit kecemasan yang ada supaya tidak membuka ruang dan peluang orang lain untuk meminjam duit. 

Cukuplah sekadar beritahu “Cukup-cukup makan dan minum saja” atau “Saya baik-baik saja” supaya mereka tidak bertanya lagi pada kemudian hari.

5. Aliran Tunai Diselia Oleh Ibu Bapa Atau Pasangan

Jika kita seorang bujang, boleh beritahu mereka aliran tunai sedang diselia oleh ibu bapa kerana kurang keyakinan untuk urus duit sendiri. Kita perlu berhadapan dengan ibu bapa jika perlukan duit untuk berbelanja setiap bulan. Sudah semestinya memberi hutang kepada orang lain tidak dibenarkan sama sekali.

Jika kita sudah berkahwin pula, pasangan kita sudah tentu bertanyakan banyak soalan mengapa perlu mengeluarkan sejumlah wang untuk memberi hutang kepada orang lain pula.

6. Orang Lain Baru Saja Pinjam

Konflik boleh timbul jika rakan-rakan atau keluarga tahu kita jenis yang memilih siapa yang layak untuk diberi hutang. Jangan membeza-bezakan status atau pilih kasih jika kita bendar-benar mahu tolong mereka.

Tetapkan pendirian untuk tidak memberi hutang kepada sesiapa pun. Usah risau jika kita dianggap sebagai mementingkan diri sendiri.

7. Ada Had Kewangan Yang Perlu Dikawal

Sekiranya kawan lama mula berkunjung bertanyakan hal ehwal kewangan kita, ia menjadi petanda bahawa mereka memerlukan sedikit wang.

Caranya adalah dengan kita juga mula bercerita kepada mereka betapa mahalnya yuran sekolah anak-anak, belanja dapur, bil air elektrik, dan bayar kereta setiap bulan.

Ceritakan kepada mereka bahawa setiap hujung bulan cukup-cukup makan saja. Mereka akan fikir yang kita bukanlah orang yang sesuai untuk meminjam duit.

Bermudah-mudah
dengan hutang sepatutnya menjadi satu perkara yang janggal. Mudah-mudahan kita
semua dijauhkan daripada belenggu hutang.

Sumber Rujukan:

Ditulis oleh Wan Mohamad Farhan bin Ab Rahman. Beliau boleh dihubungi melalui emel [email protected]



Source link