Artikel Terkini

Normal baharu: Memahami situasi anak-anak dalam kekangan pergerakan


BERMULA dengan hanya dua minggu, kini Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sudah memasuki fasa keempat.

Pada tarikh 12 Mei nanti, genaplah 56 hari rakyat Malaysia menjalani PKP, jika ia tidak diteruskan.

Bagi golongan dewasa yang cukup mengerti situasi ancaman penularan wabak, adaptasi yang dilakukan sekarang ini adalah normal baharu yang perlu dihadapi dalam menempuh kehidupan harian.

Namun, bagaimana pula dengan kanak-kanak yang biasa menjalani rutin harian secara bebas dan tiada kekangan seperti hari ini?

Mampukah mereka memahami situasi baru ini?

Anak-anak yang masih kecil agak sukar untuk memahami kenapa mereka tidak dibenarkan keluar dari rumah. Antara soalan yang mungkin bermain dalam fikiran mereka adalah ‘kenapa tiada lagi kunjungan ke padang permainan’ atau ‘kenapa tidak lagi boleh berlarian dan berbasikal di luar rumah’.

Situasi ini secara tidak langsung mengundang ketidakselesaan buat anak-anak yang akhirnya akan membuatkan mereka ‘menunjuk perangai’ atau meragam.

Ahli Terapi Cara Kerja Nuha Kids Care Centre, Nurul Sheriena Musa, berkongsikan teknik R-A-S, iaitu Rancang, Aktif dan Sempadan yang disifatkan cara mudah dan santai untuk diguna pakai.

Terapis Cara Kerja, Nuha Kids Care Centre, Nurul Sheriena Musa, berkongsikan teknik R-A S, iaitu Rancang, Aktif dan Sempadan yang disifatkan cara mudah dan santai untuk digunapakai

“Ibu bapa digalakkan merancang rutin seharian bersama anak untuk mengurangkan kesan rasa anxious (cemas) supaya mereka dapat mengawal tingkah laku anak itu.

“Pastikan rutin itu adalah lebih kurang sama ketika hari-hari persekolahan yang biasa, seperti anak-anak digalakkan bangun awal dan tidur awal,” katanya.

Tambahnya, ibu bapa juga perlu kreatif dan inovatif dengan mempelbagaikan aktiviti bersama anak-anak supaya waktu terluang dapat diisi, bukan sekadar hanya memenuhi masa, tetapi dijadikan waktu yang lebih berkualiti bersama keluarga.

“Pada masa yang sama, ibu ayah perlu kekal aktif bersama dengan anak-anak, terutama anak-anak berkeperluan khas yang memerlukan stimulasi sensor yang berterusan.

Jadi, dapatkan panduan dari occupational therapist untuk dapatkan stimulasi yang bertepatan dengan anak,” tambahnya.

Ibu bapa jugaperlu kreatif dan inovatif dengan  pelbagaikan aktiviti bersama anak-anak

Selain itu, Nurul juga memberitahu, setiap rumah perlu mewujudkan sempadan. Latih anak-anak dengan peraturan dan undang-undang bagi memudahkan ibu bapa mengajar anak-anak konsep memahami arahan.

“Pastikan ada sempadan di rumah, iaitu perlu ada peraturan untuk memudahkan ibu bapa mengajar anak-anak tentang sesuatu konsep atau mengajar anak-anak untuk memahami arahan,” ujarnya lagi.

Apa yang diharapkan kepada ibu bapa, usah melihat situasi nomal baharu ini sebagai bebanan, sebaliknya anggaplah ia satu peluang untuk merapatkan ukhuwah sesama anggota keluarga.





Source link