Artikel Terkini

Pakej Rangsangan Ekonomi penting pacu pertumbuhan ekonomi Sabah – Dr Rafiq


KOTA KINABALU: Pakej rangsangan, intervensi dan fiskal ekonomi perlu dilaksanakan kerajaan dalam memastikan pendapatan kukuh ekoran kelembapan ekonomi global selain kesan penularan wabak COVID-19.

Pensyarah Kanan, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Rafiq Idris berkata, pakej rangsangan itu penting bagi memacu ekonomi Sabah sekali gus tidak memberi kesan ketara kepada rakyat.

Menurutnya, sektor pelancongan yang merupakan antara sumber utama pendapatan kerajaan negeri menerima kesan daripada wabak COVID-19.

“Pada pandangan saya pada masa ini kita perlu lakukan intervensi ekonomi. Kita perlu merangsang semula ekonomi negeri ini. Ini yang perlu dilakukan kerajaan pada waktu ini,” katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Sabtu.

Selain itu, Dr Rafiq melihat, pakej rangsangan ekonomi yang mungkin dilakukan kerajaan perlu mengambil kira kesan jangka panjang.

Malah, kata beliau, rangsangan itu bukan hanya tertumpu kepada sektor pelancongan semata-mata tetapi juga mengambil kira sektor lain seperti perkhidmatan di Sabah.

“Pakej rangsangan ini pada pandangan saya haruslah berbentuk perbelanjaan jangka pendek yang boleh memberi kesan berterusan. sebagai contoh, sektor pelancongan.

“Malah sebelum ini ada pengumuman mengenai peruntukan RM2 bilion melalui Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai pembiayaan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) di Malaysia. Ini satu pakej untuk merangsang sektor perniagaan meningkatkan perniagaan mereka dengan melawan keadaan kelembapan ekonomi ketika ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai pendirian Kerajaan Sabah yang mesra Kerajaan Persekutuan, Dr Rafiq melihat ia satu tindakan bijak dilakukan Sabah di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Saya merasakan adalah sangat penting untuk Kerajaan Negeri sabah terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan. Dengan itu peruntukan yang bakal diberikan kepada Sabah dalam Belanjawan akan datang sama atau jauh lebih baik.

“Walaupun berbeza idealogi politik, tetapi langkah sedia bekerjasama adalah langkah terbaik untuk sama-sama mensejahterakan rakyat dan negeri ini,” katanya.





Source link

Related Posts