Artikel Terkini

Panduan Menuntut Duit Dalam KWSP, Pastikan Kita Letak Penama


Sebagaimana dilaporkan dalam sebuah keratan akhbar, daripada data yang ada setakat tahun 2016, lebih 10 juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masih tidak meletakkan penama bagi akaun mereka. Ramai yang masih mengganggap ianya sebagai sesuatu yang tidak penting.

Hal ini terjadi disebabkan beberapa faktor. Faktor yang paling utama adalah kerana masih ramai lagi yang tidak tahu tentang wujudnya borang penamaan akaun KWSP dan masalah yang akan timbul jika tidak meletakkan penama.

Sebelum membincangkan tajuk persoalan, lebih baik kita fahamkan dulu apa yang dimaksudkan dengan penamaan.

Penamaan adalah satu pengisytiharan secara bertulis yang dibuat oleh ahli dalam Borang KWSP 4, bagi melantik atau menamakan seseorang atau mana-mana orang sebagai benefisiari (bagi orang bukan Islam) atau wasi/pentadbir (bagi orang yang beragama Islam) ke atas simpanan KWSP apabila ahli tersebut meninggal dunia.

Apakah Fungsinya?

Untuk
membolehkan KWSP melepaskan wang simpanan ahli yang meninggal dunia kepada
orang yang dinamakan dengan segera tanpa mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir.

Untuk membuat
penamaan, dokumen yang diperlukan hanyalah;

  1. Borang Penamaan (KWSP 4)
  2. Salinan kad pengenalan pemilik akaun KWSP
  3. Salinan dokumen pengenalan diri penama.

Ada Penama Dan Tiada Penama: Perbezaan Proses Waris Menuntut Wang Simpanan KWSP

Bagi simpanan KWSP yang telah siap diletakkan penama oleh pemiliknya semasa hidup, penama boleh terus ke mana-mana kaunter KWSP dan memulakan proses tuntutan. Cuma kena pastikan tuntutan pengeluaran simpanan KWSP tersebut dibuat dalam tempoh setahun dari tarikh kematian arwah.

Dokumen yang
perlu waris bawa semasa membuat tuntutan adalah;

  1. Borang Permohonan KWSP 9KM (AHL);
  2. Sijil kematian ahli KWSP
  3. Kad pengenalan penama
  4. Maklumat akaun bank (Akaun Simpanan/Akaun Semasa/Surat pengesahan maklumat pemegang akaun dari bank/Akaun Harta Pusaka Simati – Nama Simati)

Bagi penama
bawah umur 18 tahun, maka pemohon (penjaga kepada penama) perlu juga
mengemukakan Surat Rayuan dan Sijil Kelahiran Penama.

Bayaran wang
simpanan KWSP tersebut akan terus masuk ke akaun penama yang telah membuat
tuntutan.

Manakala bagi
simpanan KWSP yang tidak berpenama, maka waris terdekat juga boleh membuat
permohonan tuntutan pengeluaran wang simpanan KWSP arwah tetapi memerlukan
beberapa dokumen sokongan selain empat dokumen yang perlu waris kemukan.
Antaranya adalah;

  1. Dokumen sokongan menunjukkan
    pertalian hubungan dengan si mati (sijil lahir, sijil nikah dan yang berkaitan)
  2. Surat Kuasa daripada Surat
    Pentadbiran Mahkamah atau Institusi Perundangan atau Amanah Raya Berhad (ARB).

Jika wang
simpanan KWSP adalah satu-satunya harta pusaka arwah, maka Sijil Faraid yang
dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah juga boleh digunakan untuk membuat tuntutan
pengeluaran simpanan KWSP.

Proses ini biasanya mengambil masa berbulan-bulan untuk selesai.

Secara umum kita lihat semasa buat tuntutan pengeluaran, tak banyak perbezaan di antara ada penama dan tiada penama. Cuma perlu dapatkan Surat Kuasa sahaja.

Tapi tahukah
anda betapa rumit dan lamanya masa yang diperlukan untuk mendapatkan Surat
Kuasa tersebut. Jika tak kena caranya, ada yang makan tahun juga baru boleh
dapat Surat Kuasa. Lepas dapat Surat Kuasa baru boleh mohon untuk keluarkan
simpanan KWSP arwah.

Berbeza dengan akaun KWSP yang dah ada penama. Selepas pemilik akaun meninggal dunia, penama boleh terus membuat tuntutan dan mengeluarkan wang simpanan tersebut.

Kesimpulannya,
sangat penting untuk kita membuat penamaan kepada akaun KWSP kita kerana dua
faktor.

  1. Untuk memudahkan dan memendekkan
    proses pengeluaran.
  2. Mengelakkan sebarang kos dan
    kerumitan mendapatkan dokumen pihak ketiga dari Pejabat Tanah/Mahkamah. Ya nak
    dapatkan Surat Kuasa kena keluarkan duit dulu.

Sekiranya nak tahu lebih lanjut mengenai penamaan akaun KWSP ni boleh terus ke mana-mana cawangan mereka atau layari www.kwsp.gov.my.

Ditulis oleh Fakhrur Radzi, seorang konsultan di sebuah firma runding perancangan harta dan urus pusaka. Selain aktif menulis perkongsian mengenai urus pusaka di Facebook, beliau turut menerima jemputan untuk memberikan ceramah berkaitan urus pusaka.



Source link