Artikel Terkini

Penerbangan laluan Malaysia-Hong Kong tidak terjejas – Cathay Pacific



GEORGE TOWN: Cathay Pacific Airways Limited (Cathay Pacific) tidak mengurangkan kekerapan penerbangannya bagi laluan Hong Kong dan Malaysia walaupun bantahan di wilayah separa autonomi China itu masih berlanjutan.

Malah, Pengurus Negara Cathay Pacific bagi Malaysia dan Brunei, Anna Choi berkata dua penerbangan syarikat itu dari Pulau Pinang ke Hong Kong dan empat penerbangan dari Kuala Lumpur ke bandar raya tersebut masih beroperasi sejak Jun tahun lepas.

“Dalam perancangan awal promosi penerbangan, kami turut meningkatkan jadual penerbangan ke seluruh dunia. Namun, selepas perkembangan yang berlaku di Hong Kong, kami telah bertindak mengurangkan penerbangan itu seperti menyemak kekerapan serta kapasiti penerbangan.

“Bagaimanapun, penerbangan antara Hong Kong dan Malaysia masih tidak terjejas,” katanya kepada pemberita selepas majlis makan tengah hari syarikat itu bersempena Tahun Baru Cina di sini, pada Isnin.

Malah, kata Choi, beberapa penerbangan Cathay Pacific bagi Pulau Pinang dan Kuala Lumpur turut mencecah kapasiti penumpang maksimum pada Krismas lepas.

Selain itu, beliau berkata walaupun Cathay Pacific masih belum memainkan sebarang peranan rasmi dalam kempen pelancongan Tahun Melawat Malaysia 2020, ia akan melaksanakan usaha sewajarnya bagi menyokong pasaran Malaysia.

“Kami mengadakan banyak promosi taktikal dari semasa ke semasa dan turut menawarkan penetapan harga kompetitif bagi semua destinasi,” katanya.

— BERNAMA





Source link

Related Posts