Artikel Terkini

Penggantungan Aktiviti Jualan Singkat (Short-Selling) Dilanjutkan Sehingga 30 Jun 2020


Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) telah melanjutkan penggantungan sementara bagi jualan singkat sehingga 30 Jun 2020.

Penggantungan sementara tersebut, yang bermula pada 24 Mac 2020 pada awalnya dijangka berakhir pada 30 April 2020. Ia diperkenalkan oleh SC dan Bursa Malaysia, sebagai sebahagian daripada siri langkah proaktif untuk mengurangkan potensi risiko yang timbul dengan meningkatnya ketidaktentuan dan ketidakpastian di peringkat global berikutan pandemik Covid-19.

Ia melibatkan penggantungan Jualan Singkat Intra Hari (Intraday Short Selling – IDSS) dan Jualan Singkat Terkawal (Regulated Short Selling – RSS), serta jualan singkat oleh Pedagang Harian Proprietari. Penggantungan tersebut bagaimanapun tidak membabitkan Jualan Singkat yang Dibenarkan (PSS).

Pelanjutan penggantungan sementara tersebut akan memastikan langkah-langkah pengurusan pasaran kekal tersedia, untuk mengurus risiko di tengah-tengah persekitaran pasaran yang amat tidak menentu dan mencabar ketika pandemik Covid-19, serta untuk mengurangkan mana-mana aktiviti spekulasi berlebihan dalam pasaran.

Penggantungan sementara jualan singkat tersebut kekal sebagai langkah jangka pendek demi kestabilan dan keyakinan terhadap pasaran modal Malaysia.

SC dan Bursa Malaysia akan terus memantau perkembangan yang mempengaruhi pasaran sekuriti dan menilai kecukupan langkah-langkah yang sedia ada bagi menyokong pasaran yang teratur dan mengurangkan potensi risiko.

Sumber: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia

Jual Dulu Saham, Beli Kemudian

Short selling ni tak sesuai untuk beginner, lagi pun IDSS ni tak patuh syariah. Tapi kalau berminat nak tahu lebih lanjut, jemput baca Intraday Short-Selling di Bursa Malaysia – Apa Kata Otai.



Source link