Artikel Terkini

Peniaga trak makanan lega dibenarkan beroperasi dalam normal baharu



KUALA LUMPUR: Selepas tiga bulan ‘bercuti’, perniagaan trak makanan (food truck) bakal kembali aktif mulai 10 Jun ini susulan kebenaran beroperasi sepertimana diumumkan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad.

Bagi Presiden Persatuan Food Truck Malaysia, Datuk Dr Zaini Taha, pengumuman itu satu kelegaan buat peniaga berkenaan yang berdepan dengan risiko kerugian sejak 18 Mac lalu.

“Alhamdulilah, saya melahirkan rasa syukur dan terima kasih Perdana Menteri memberi peluang kepada peniaga food truck.

“Selain itu, peniaga jalanan seperti peniaga pisang goreng, nasi lemak dan burger dibenarkan melakukan aktiviti perniagaan bukan komersial.

“Terima kasih semua kerana memberi kebenaran beri peluang kepada peniaga kita menjalankan perniagaan seperti biasa.

“Peniaga bersetuju mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Beliau juga berharap detik sukar yang dihadapi peniaga trak makanan sejak tiga bulan lalu kembali pulih dengan berita gembira itu.

“Peniaga food truck selama tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka (peniaga) jalankan perniagaan tidak seperti yang dijangkakan.

“Perniagaan mereka terhenti, ada dalam kalangan mereka berniaga ikan, sayur dan ada yang terpaksa bantu isteri berniaga di gerai-gerai.

“Kebenaran diberikan ini melahirkan rasa gembira kerana mereka dapat menjalankan ativiti seperti biasa,” kata Zaini.





Source link