Uncategorized

Perang Perdagangan Sebenarnya Menguntungkan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia


Perang perdagangan yang berterusan di antara Amerika Syarikat (AS) dan China telah membuka ruang yang lebih luas kepada syarikat-syarikat tempatan dalam membekalkan produk berasaskan sintetik terutamanya sarung tangan.

Syarikat-syarikat di Amerika Syarikat dijangka akan beralih arah ke negara-negara Asia seperti Malaysia, bagi mendapatkan alternatif produk yang lebih murah sekaligus dapat membuka peluang kepada pengeluar produk sarung tangan getah negara untuk menguasai pasaran AS serta Eropah.

Untuk pengetahuan anda, AS baru-baru ini mengenakan tarif sebanyak 10% ke atas sarung tangan perubatan yang dibuat di China mulai 1 September 2019.

Perang perdagangan yang berlangsung sejak tahun lalu sebenarnya telah mengganggu rantaian bekalan (supply-chain) global. Namun, dalam masa yang sama ianya memberi faedah kepada negara-negara lain khususnya pengeluar dari Malaysia.

Presiden dan Pengarah
Urusan Supermax Corporation Bhd (Supermax), Datuk Seri Stanley Thai, berkata
pengeluar produk sarung tangan termasuk syarikatnya sendiri mendapat manfaat
daripada peningkatan tarif yang dikenakan AS terhadap barangan dari China.

Beliau berkata, produk sarung tangan getah perubatan dari Malaysia bakal menguasai pasaran AS dalam beberapa tahun akan datang.

Malaysia Pembekal Terbesar Ke Amerika Syarikat

Sarung tangan perubatan adalah salah satu produk yang berada
dalam senarai tarif baru oleh Amerika Syarikat terhadap China pada 1 September
yang lalu. Manakala 25% tarif telah dikenakan kepada sarung tangan bukan-perubatan
sejak 1 Mei 2019.

Ramai yang berpendapat perkara ini bakal membuka ruang yang
lebih luas kepada pengeluar tempatan kerana status China sebagai antara
pengeluar terbesar sarung tangan sintetik di dunia.

11% import keseluruhan
sarung tangan sintetik ke Amerika Syarikat datang dari China berdasarkan
laporan kaji selidik Maybank Investment.
Penganalisis di Maybank Investment berkata impak daripada perang dagang menyebabkan
sektor kesihatan AS beralih dari China ke Malaysia, manakala China pula mencari
destinasi eksport baru ke Eropah.

Tahun lalu sahaja, 66%
dari jumlah keseluruhan import sarung tangan sintetik ke Amerika Syarkat datang
dari Malaysia menjadikan negara kita pembekal utama produk ini ke negara itu.

Pembekal Tempatan Dapat Permintaan Lebih Tinggi?

Kajian oleh MIDF
menjangka pembuat sarung tangan sintetik negara bakal mendapat faedah dengan
permintaan lebih tinggi dari Amerika Syarikat.

Walaupun kita bakal bersaing dengan China di pentas Eropah,
tetapi dengan strategi penetapan harga yang lebih kompetitif akan mengekalkan
peratusan pegangan pasaran syarikat tempatan di rantau tersebut.

Supermax merupakan salah satu pengeluar terbesar di Malaysia dan menjangkakan nilai eksport akan meningkat 10% pada tahun kewangan 2020, didorong oleh konflik perang perdagangan itu. Eksport Supmermax ke AS ketika ini sekitar 30% daripada jumlah eksport keseluruhan syarikat.

Daripada satu sudut, perang perdagangan banyak menimbulkan ketidaktentuan pasaran tetapi dari sudut yang lain, ia telah mewujudkan peluang bagi pengeluar Malaysia meningkatkan penguasaan pasaran global.

Supermax juga menyasarkan peningkatan pengeluaran kepada 27 bilion tan metrik pada Disember 2020 daripada 21.75 bilion tan metrik ketika ini, dan ia dijangka terus meningkat kepada 44.1 bilion tan metrik menjelang 2024.

Berikut adalah
pergerakan semasa saham dua pengeluar sarung tangan utama negara terutamanya
selepas tarif baru 10% berkuatkuasa pada 1 September terhadap sarung tangan
sintetik perubatan dari China:

Supermax Corporation Berhad

Pergerakan Harga Saham Supermax, Sumber : Tradingview

Carta di atas adalah pergerakan saham Supermax dalam rangka
masa empat jam. Lorekan kuning menunjukkan harga saham kaunter berkenaan pada
tarikh 1 September dan 11 September.

Jelas dilihat terdapat kenaikan ketara selepas tarif baru
oleh AS terhadap China. Harga saham Supermax pada 1 September 2019 berlegar di
sekitar harga RM1.47 dan meningkat sebanyak 13% dalam masa sepuluh hari kepada
RM1.67.

Hartalega Holdings Berhad

Pergerakan Harga Saham Hartalega, Sumber : Tradingview

Hartalega Holdings Berhad (Hartalega) adalah syarikat pengeluaran sarung tangan nitril yang terbesar di dunia. Sejak tahun 2008, modal pasaran syarikat ini telah meningkat sebanyak 46 kali ganda daripada hanya RM436 juta kepada RM17.9 bilion.

Sama seperti Supermax, Hartalega juga mencatatkan kenaikan harga saham selepas tarif baru berkuatkuasa pada 1 September. Dapat dilihat kenaikan signifikan di antara tarikh 1 September hingga 11 September 2019 dari RM5.08 kepada RM5.38, iaitu kenaikan hampir 6% dalam tempoh kurang daripada dua minggu.

Sumber Rujukan:

  1. https://www.thestar.com.my/business/business-news/2019/09/06/local-glove-makers-benefit-from-us-china-trade-war-supermax-says
  2. https://www.thestar.com.my/business/business-news/2019/09/11/glove-makers-to-gain-as-us-impose-tariffs-on-china-gloves
  3. https://www.theedgemarkets.com/article/us-tariffs-give-local-glove-sector-temporary-boost
  4. https://www.sinarharian.com.my/article/42747/BISNES/Industri-sarung-tangan-getah-sasar-peroleh-RM20-bilion
  5. https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2019/09/604237/peluang-pengeluar-sarung-tangan-getah-kuasai-eropah
  6. http://www.majalahlabur.com/saham/ambil-tahu-11-perkara-ini-sebelum-nak-melabur-saham-hartalega/

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Komen

komen





Source link