Uncategorized

Perdagangan Guangxi-Malaysia catat pertumbuhan 120 peratus pada 2018



NANNING: Perdagangan dua hala antara Guangxi dan Malaysia mencatatkan pertumbuhan sebanyak 120 peratus dengan nilai dagangan berjumlah AS$1.2 billion (RM5.1 bilion) pada tahun lepas berbanding 2017.

Menurut Pesuruhjaya Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Guangzhou, Zaimah Osman jumlah import barangan Malaysia ke wilayah itu meningkat sebanyak 63.34 peratus dengan nilai AS$572.79 juta (RM2.4 bilion) tempoh yang sama.

“Peningkatan jumlah dagangan dan juga import barangan Malaysia adalah daripada beberapa inisiatif galakan promosi seperti Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) dan juga kerjasama bersama China Post, Guangxi Free Trade Port Area dan juga promosi atas talian seperti Ule.com dan MAYI.

“China adalah rakan dagangan nombor satu buat Malaysia dan CAEXPO adalah antara salah satu cara untuk menerokai peluang pasaran di sepanjang negara-negara terlibat inisiatif Belt & Road (BRI),” katanya ketika ditemui pemberita di CAEXPO 2019, di Nanning, China.

Sementara itu, Zaimah menggesa syarikat tempatan untuk mengambil peluang terhadap kesan perang perdagangan Amerika Syarikat – China kerana ia memberi alternatif kepada syarikat China beralih ke Malaysia bagi mendapatkan bahan mentah serta peralatan terutamanya sektor pembuatan produk elektronik, kimia.

“Syarikat China akan mencari peluang untuk melabur di negara yang lebih murah kos operasinya serta mencari rakan strategik dari Malaysia,” jelasnya.

Zaimah turut menyatakan Matrade bersedia dengan empat pejabat di China seperti di Guangzhou, Beijing, Shanghai dan Chengdu untuk memberi informasi dan analisa pasaran kepada syarikat tempatan khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk bertapak di China serta bersaing di pasaran Antarabangsa.

“Syarikat Malaysia boleh meningkatkan profil mereka dalam pasaran asing melalui pelbagai aktiviti promosi, termasuk misi perdagangan, misi akselerasi eksport dan pameran perdagangan antarabangsa termasuk pemadanan perniagaan dengan syarikat asing yang berpotensi,” katanya.





Source link

Related Posts