Artikel Terkini

Perintah Kawalan Pergerakan: Jangan duduk diam sahaja, jom bersenam!



KUALA LUMPUR: PERINTAH kawalan pergerakan yang mula dilaksanakan pada Rabu mungkin memberi implikasi kepada orang ramai apatah lagi kurang pergerakan fizikal yang boleh dilakukan seperti berekreasi di taman atau bersenam di gimnasium.

Walau demikian, perintah ini bukanlah bermakna ia mengekang aktiviti fizikal harian. Malah, terdapat pelbagai perkara yang boleh dilakukan dengan hanya berada di ruang tamu sendiri. 

Buat selebriti kesihatan dan kecergasan tanah air, Kevin Zahri beliau sudah tidak asing lagi dengan menganjurkan kelas senaman fizikal melalui platform media sosial seperti Facebook dan Instagram.

Beliau juga sudah pernah menjalankan pelbagai aktiviti yang menumpu kepada senaman dan kesihatan fizikal di media sosial seperti program “Cabaran Jom Kurus” pada tahun 2019.

Berikutan penularan wabak COVID-19 yang mewajibkan langkah penjarakan sosial diambil serta kawalan pergerakan setiap individu, Kevin mula melakukan sesi siaran langsung “Live Home Workout” selama 30 minit untuk kali kedua pada minggu ini di laman Facebook dan Instagram beliau.

“Keadaan kawalan pergerakan bukan alasan untuk duduk diam di katil dan menonton TV selama 24 jam yang akan membawa kepada masalah lain,” katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Menurutnya, program senaman santai ini telah mendapat sambutan yang baik dari para penonton dan turut menerima maklum balas dari penonton yang berasal dari merata tempat seperti Singapura, Brunei dan Amerika Syarikat (A.S).

Buat yang sedang bercuti tanpa melakukan apa-apa di rumah, pergerakan badan yang terhad akan menjejaskan rutin pembakaran kalori harian lalu mengundang risiko kenaikan badan dan perasaan stress.

“Atas sebab ini juga amatlah penting untuk kita bersama tingkatkan kecergasan.

Penting juga untuk seseorang mengenalpasti keadaan sekeliling, dan untuk tidak menyerah diri pada keadaan,” tambahnya.

Beliau juga turut menasihati orang ramai agar sentiasa mengaktifkan diri sebaik yang mungkin serta mengamalkan pemakanan yang sihat terutamanya apabila menghabiskan masa di rumah.

Kevin juga aktif memuat naik pelbagai informasi tentang senaman yang boleh diamalkan di rumah sendiri.

Beliau juga kerap dalam memuat naik video senaman di akaun YouTube.





Source link