Artikel Terkini

Perintah Kawalan Pergerakan, masa untuk menjaga kesihatan mental



KUALA LUMPUR: Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan selama dua minggu merupakan masa untuk semua pihak menjaga dan mengekalkan kesihatan mental dalam menghadapi cabaran penularan wabak COVID-19, menurut Pertubuhan Befrienders Kuala Lumpur.

Penaungnya, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata COVID-19 yang diisytiharkan pandemik dilihat membawa ketakutan, kebimbangan dan tekanan melampau dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat.

Justeru, beliau menasihatkan rakyat supaya menghadkan masa dalam talian serta melakukan beberapa aktiviti di rumah seperti melukis, menonton video dalam talian, meditasi, menulis jurnal dan berdoa.

“Kongsi mesej positif dan menggalakkan di media sosial misalnya kisah pesakit yang telah pulih dan pengorbanan petugas barisan hadapan dalam menjaga pesakit COVID-19,” katanya, dalam kenyataan pada Jumaat.

Selain itu, katanya, rakyat boleh mendapatkan maklumat yang sahih mengenai perkembangan jangkitan itu daripada Kementerian Kesihatan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Bagi individu yang tinggal bersendirian, mereka dinasihatkan untuk berhubung dengan orang tersayang (keluarga) menerusi panggilan telefon dan panggilan video, katanya.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara bermula 18 hingga 31 Mac ini sebagai langkah membendung penularan jangkitan COVID-19.

Dalam pada itu, Lee berkata kerajaan perlu menyediakan sokongan psikososial terutamanya kepada pekerja kesihatan di barisan hadapan yang berurusan dengan pesakit COVID-19.

Sementara itu, individu yang berdepan dengan masalah kemurungan dan memerlukan seseorang untuk mendengar dan berkongsi masalah boleh menghubungi talian bantuan Befrienders di Kuala Lumpur/Selangor pada talian 03-79568145.

— BERNAMA





Source link