Artikel Terkini

Perodua sedia bantu bagi mengekalkan kelangsungan industri



KUALA LUMPUR: Perodua bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan kelangsungan hidup industri semasa tempoh yang sukar sekarang ini, berikutan COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, Perodua menyokong sepenuhnya matlamat kerajaan termasuk pelbagai inisiatif yang telah diperkenalkan bagi memperkukuhkan industri automotif Malaysia khususnya dalam saat-saat yang mencabar.

“Ini merupakan tempoh yang benar-benar menguji kita semua, bagaimanapun, Perodua yakin dengan kerjasama kerajaan, industri serta ekosistem pembekal dan peniaga, akan dapat mengharungi badai ini secara bersama-sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) dalam laporan terkini menganggarkan penurunan 28 peratus dalam jualan kereta baharu pada tahun ini disebabkan oleh PKP dan untuk membolehkan perniagaan automotif melangsungkan operasi, ia memerlukan minimum 500,000 dalam jumlah keseluruhan industri (TIV) pada 2020.

Antara insentif yang digariskan oleh MARii bagi merangsang permintaan termasuk pengecualian sementara ke atas pembayaran pendahuluan, pengurangan kadar faedah pinjaman dan subsidi bersama antara pembuat kereta serta kerajaan membabitkan cukai jalan dan insurans untuk tempoh masa yang terhad.

Beliau berkata Perodua sedang melakukan bahagiannya bagi mengekalkan ekosistemnya yang luas merangkumi pembekal dan peniaga.

“Selain komitmen jumlah, kami membantu dan menyokong mereka melalui pelaburan dan pembelian dahulu, tempoh kredit yang lebih lama serta pelbagai inisiatif transformasi operasi dan program pembangunan,” katanya lagi.

Perodua telah menjual 52,920 kenderaan dalam tempoh lima bulan pertama 2020, menguasai 41 peratus pasaran daripada TIV sebanyak 129,401 unit.

Pada hari ini, semua model Perodua mempunyai lebih daripada 90 peratus kandungan tempatan, dan pada tahun lepas, pembuat kereta itu membeli komponen bernilai RM5.4 bilion daripada pembekal Malaysia.





Source link

Related Posts