Uncategorized

Pesta buku di KLCC jadi tarikan pengunjung



KUALA LUMPUR: Orang ramai mengambil kesempatan cuti persekolahan dan cuti sambutan Aidilfitri untuk mengunjungi pesta buku di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, pada Khamis.

Beberapa pengunjung yang ditemui Bernama, berkata, mereka mahu ‘berehat’ seketika daripada agenda berkunjung ke rumah sanak-saudara yang tidak dapat tidak diselit dengan pelbagai juadah yang menyelerakan.

Eksekutif swasta, Nor Shahidah Ahmad, 23, berkata, beliau mengambil kesempatan untuk keluar bersiar-siar di sekitar ibu kota setelah seharian berkunjung ke rumah sanak saudara pada hari raya pertama pada Rabu.

“Semalam (Rabu) kami makan terlalu banyak, jadi mahu keluar bersiar-siar pula pada hari raya kedua dan datang ke pesta buku untuk membeli novel dan sebagainya. Lagipun jalan di ibu negara lengang,” katanya.

Warga emas, Shamsiah Haris, 70, berkata, hampir setiap tahun beliau pasti mengunjungi pesta buku berkenaan untuk membeli buku masakan.

“Saya suka memasak, banyak jenis buku masakan yang boleh saya pilih untuk menyediakan juadah untuk rumah terbuka nanti.

“Selain itu, saya membeli beberapa buku kanak-kanak untuk beberapa cucu saya kerana ketika pesta bukulah banyak promosi dan diskaun diberi kepada pengunjung,” katanya.

Pesta buku dengan tema ‘Assuredly Enriching’ itu dianjurkan bersama Popular Book Co (M) Sdn Bhd dan BookFest @ Malaysia 2019.

Lebih 700 pempamer dari hampir seluruh dunia menyertai pesta buku tersebut yang berlangsung dari 1 hingga 9 Jun ini. Tahun lalu, pesta buku tersebut menarik 680,000 pengunjung.

— BERNAMA





Source link