Artikel Terkini

Pinjaman Rumah Tak Lulus Sebab Kau Terlalu Muda? Ini Penjelasannya


Kisah ini adalah adaptasi sebenar daripada seorang pemohon pinjaman rumah yang berumur 25 tahun dan baru bekerja dalam industri cari gali dengan gaji purata RM8,000 sebulan.

Beliau telah
menghantar permohonan pertamanya untuk pembiayaan rumah dan permohonannya gagal
kerana dilihat terlalu muda untuk satu komitmen pinjaman yang besar.

Untuk pengetahuan
anda, punca permohonan pembiayaan rumah beliau gagal adalah kerana nilai
skoring beliau yang dilihat rendah di mata pihak bank (financier).

Pihak bank juga
akan lebih serius dalam meluluskan permohonan pembiayaan rumah bagi mereka yang
berusia di bawah 25 tahun.

Kenapa Ini berlaku?

Hal ini kerana,
anak muda yang berumur bawah 30 tahun merupakan golongan tertinggi diisytihar
bankrup oleh pihak bank kerana penggunaan fasiliti pinjaman dan kad kredit yang
tidak terkawal.

“Pada tahun 2017, seramai 18,277 rakyat Malaysia telah diisytihar bankrap dan 14.7% daripadanya adalah kerana pinjaman perumahan.”

Ada beberapa faktor dan situasi tipikal yang menyebabkan permohonan pinjaman kita ditolak. Sila semak senarai di bawah :-

1. Tiada Rekod Pinjaman

Ini adalah situasi paling tipikal di mana seorang individu yang tidak pernah mempunyai sebarang komitmen dengan bank, secara tiba-tiba ingin memohon pinjaman dengan jumlah yang besar.

Bank memerlukan bukti yang menunjukkan kita mempunyai tabiat berdisiplin dan bertanggungjawab dalam membayar komitmen bulanan dan tidak mempunyai sebarang masalah kewangan.

Oleh yang demikian, jika seseorang individu ingin memohon pinjaman tanpa mempunyai sebarang rekod pinjaman, peluang untuk permohonan pembiayaan hartanah sehingga 100% atau full loan adalah rendah.

2. Tiada Aset Mudah Cair

Ini merupakan masalah paling popular dalam kes permohonan pembiayaan yang ditolak kerana pemohon gagal menunjukkan beliau mempunyai aset mudah cair untuk proses pembayaran duti setem, deposit, yuran guaman dan lain-lain.

Secara logiknya, bank tidak mungkin sama sekali memberikan kita sebarang bentuk pinjaman jika wang di dalam bank hanya sekadar dua angka sahaja.

“Sediakan sekurang-kurangnya 15% tunai daripada harga rumah yang bakal anda beli.”

Ada baiknya jika kita berhenti menyimpan duit secara tunai di rumah dan mula menyimpan di dalam bank. Kalau yang sebelum ni takde tabiat menyimpan, cepat-cepatlah kurangkan perbelanjaan dan simpan sebanyak mungkin.

3. Permohonan Jumlah Pinjaman Dengan Kadar Mendadak

Contoh bagi situasi ini adalah apabila kita yang hanya mempunyai komitmen bersifat easy payment plan, secara tiba-tiba telah memohon pembiayaan rumah Semi-D pada harga RM700,000.

Potensi untuk permohonan pembiayaan ditolak juga adalah lebih tinggi kerana jumlah permohonan pinjaman yang bersifat mendadak.

4. Panduan Bank Untuk Scoring

Apa yang perlu kita tahu ialah setiap bank mempunyai produk, syarat dan polisi yang berbeza di antara satu sama lain.

Oleh yang demikian,
adalah penting untuk setiap bakal pemohon pembiayaan rumah untuk menyelidik dan
melakukan kajian terhadap polisi bank yang bakal memudahkan permohonan anda.

“Semak kadar faedah dan peratus pembiayaan dari pihak bank untuk mengetahui bank yang paling sesuai untuk kita.”

Andai kata permohonan anda di bank A gagal, mungkin permohonan kita mampu lulus di bank B dan bank C.

Apa Yang Boleh Kita Lakukan?

Apa yang boleh kita lakukan untuk isu ini adalah dengan memohon kad kredit seawal tiga bulan pertama bekerja dan kawal perbelanjaan kad kredit supaya rekod skoring kita berada dalam keadaan baik.

Seterusnya adalah dengan menyimpan 15%-30% daripada gaji kita di instrumen pelaburan yang berisiko rendah seperti ASB dan Tabung Haji.

Kita juga boleh membuat permohonan bersama atau joint-loan dengan ibu bapa, isteri atau adik-beradik.

Buat pengetahuan anda, permohonan bersama mampu meningkatkan potensi permohonan pembiayaan rumah kita lulus.

Perkara yang paling mustahak sebelum membuat pembiayaan perumahan buat golongan muda adalah anda wajib mempunyai wang simpanan yang mencukupi, tabung kecemasan 6 bulan dan rekod caruman KWSP yang baik.



Source link