Artikel Terkini

PKP: Sektor berasaskan penggunaan, jalinan ekonomi harus diberi keutamaan



KUALA LUMPUR: Sektor ekonomi yang perlu dijadikan keutamaan kerajaan dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara berada pada kedudukan stabil dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau selepas PKP meliputi dua aspek utama.

Hasil penyelidikan Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan (IKDPM), Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapati, dua aspek tersebut meliputi sektor utama berasaskan penggunaan dan jalinan ekonomi.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UPM, Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari, penetapan itu diambil berdasarkan dua pertimbangan iaitu memaksimakan impak ekonomi menerusi perbelanjaan isi rumah.

Katanya, pertimbangan kedua pula ialah untuk memfokuskan sektor yang mempunyai rantaian kuat dalam ekonomi secara keseluruhan.

“Setiap pertimbangan ini dibuat berdasarkan kepada perkiraan pengganda atau nilai tambah sebanyak 90 peratus daripada komponen gross domestic product (GDP) atau Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). 

“Contoh di sini makanan dan minuman mempunyai pengganda nilai ditambah ialah sebanyak 0.8 peratus. Ini bermaksud, setiap ringgit yang dibelanjakan kepada produk ini, 80 sen akan dijana dalam keseluruhan ekonomi.

“Sektor yang mempunyai rantaian kuat dalam ekonomi ialah industri minyak dan lemak,” katanya kepada Astro AWANI pada Isnin.

Dalam pada itu, Mohd Yusof berkata, bagaimanapun pertimbangan itu bergantung kepada polisi atau pembuat dasar kerajaan.

“Kalau mereka (kerajaan) ingin memaksimakan potensi pertumbuhan keseluruhan sektor ekonomi boleh lihat kepada sektor utama berdasarkan rantaian nilai.

“Sekiranya mahu memaksimakan Pakej Rangsangan Ekonomi yang merujuk kepada domestik ekonomi menerusi perbelanjaan isi rumah, maka sektor yang boleh memaksimakan impak adalah daripada perbelanjaan isi rumah,” jelas beliau lagi.





Source link

Related Posts