Artikel Terkini

PKPB: Tempahan berkurang, tukang songkok buatan tangan tidak berputus asa


KUALA TERENGGANU: Biarpun tempahan diterima merosot akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu, namun tukang songkok terkenal di Terengganu ini tidak mengeluh, sebaliknya terus cekal meneruskan perniagaan tradisi keluarganya itu.

Adnan Husain, 64, yang kerap menerima tempahan daripada orang kenamaan termasuk kerabat diraja sebelum ini, berkata sambutan Aidilfitri yang tidak meriah seperti biasa kali ini, mungkin menyebabkan tidak ramai yang berminat menempah songkok buatan tangannya itu.

Dia yang pernah menghasilkan songkok untuk Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada 2002,  bagaimanapun mengakui sejak PKP Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan, pelanggan sudah mula datang membuat tempahan.

.

“Pelanggan tidak ramai seperti biasa, tapi syukur sudah ada yang kembali membuat tempahan. Sehingga kini saya masih membuka tempahan songkok,” katanya yang mewarisi kemahiran membuat songkok daripada bapanya kira-kira 40 tahun lalu.

Adnan yang popular dengan keaslian dan ketelitian hasil sentuhan tangannya yang hanya menggunakan mesin jahit lama itu berkata, sebelum ini dia terpaksa bersengkang mata menyiapkan sekitar 500 buah songkok tradisional setiap kali musim perayaan, malah tempahan sudah diterima sebelum Ramadan lagi.

Songkok dijualnya bermula daripada RM40 dan harganya boleh mencecah ratusan ringgit mengikut saiz dan jenis kain baldu yang digunakan.

Adnan mengusahakan perniagaan songkok itu di sebuah premis di Losong, Kuala Terengganu.





Source link