Uncategorized

RHB sedia beri pinjaman perumahan kepada peminjam PTPTN disenarai hitam

RHB sedia beri pinjaman perumahan kepada peminjam PTPTN disenarai hitam 1



RHB sedia beri pinjaman perumahan kepada peminjam PTPTN disenarai hitam 2

KUALA LUMPUR: RHB Banking Group, penyedia perkhidmatan kewangan bersepadu penuh keempat terbesar di Malaysia, tidak mempunyai masalah untuk penyediakan pinjaman perumahan kepada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional yang telah disenarai hitam.

Pemangku Ketua Perbankan Runcit Kumpulan RHB Nazri Othman berkata bank itu telahpun berbuat demikian sebelum kerajaan mengumumkan memberi kelonggaran kepada peminjam yang disenaraikan dalam sistem rujukan kredit negara baru-baru ini.

“Sekiranya mereka (peminjam yang disenarai hitam) dapat menstruktur semula hutang dan meyakinkan kami bahawa mereka telah melakukan penstrukturan bayaran balik dengan PTPTN, kami akan mempertimbangkan.

“Kami telahpun berhadapan dengan situasi itu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Kempen Emas Deposit RHB, di sini pada Khamis.

Beliau berkata tidak ada alasan bagi pihak bank untuk menolak memberi pinjaman perumahan kepada peminjam PTPTN yang komited membuat bayaran balik pinjaman mereka dengan jadual pembayaran balik yang sepatutnya.

“Mereka mungkin mengalami kesukaran untuk membayar balik sebelum ini, tetapi sekarang mereka dapat menyusun semula bayaran balik mereka, jadi kami akan mempertimbangkannya dan memberi mereka garis panduan untuk memohon kemudahan pinjaman.

“Ia tidak bermakna dengan menghadapi masalah (dalam bayaran balik) sebelum ini, mereka akan terus mengalami masalah yang sama selamanya,” katanya.

Sementara itu, Nazri berkata Kempen Emas Deposit RHB, yang diadakan dari 18 Okt tahun lepas hingga 28 Feb lepas, menjana deposit berjumlah lebih daripada RM500 juta untuk RHB.

“Dalam suku pertama 2019, RHB merekodkan pertumbuhan deposit yang kukuh iaitu 14.3 peratus tahun ke tahun, menunjukkan keyakinan dan kepercayaan pelanggan terhadap bank,” katanya.

Beliau berkata, berikutan sambutan yang positif daripada pelanggan terhadap kempen itu, RHB telah melancarkan Kempen Emas Deposit 3 RHB yang berlangsung dari 1 Julai hingga 31 Dis tahun ini.

Bank itu juga telah menggandakan nilai hadiah bagi para pemenang.

Katanya, ia juga akan melancarkan Kempen Pelancongan RHB CASA 2 pada suku ketiga tahun ini.

BACA: Tiada sekatan CCRIS untuk pembelian rumah pertama bagi peminjam PTPTN – Zuraida

BACA: Peminjam PTPTN disenarai hitam CCRIS tiada masalah mohon pinjaman beli rumah pertama

Pada Rabu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata keputusan akhir untuk meluluskan permohonan pinjaman perumahan kepada peminjam PTPTN yang disenarai hitam adalah terletak kepada pihak bank.

Beliau berkata, ini walaupun kerajaan telah mengambil langkah mengecualikan nama peminjam PTPTN dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat daripada disenarai hitam oleh pihak bank.

— BERNAMA





Source link