Artikel Terkini

Ringgit dibuka tinggi menjelang pengumuman pakej rangsangan ekonomi hari ini



KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini berikutan permintaan meningkat memandangkan minat risiko pelabur menjadi lebih baik menjelang pengumuman pakej rangsangan ekonomi oleh kerajaan hari ini.

Pada 9 pagi, unit tempatan meningkat 100 mata asas kepada 4.2130/2200 berbanding dolar AS daripada 4.2230/2280 ketika ditutup pada Rabu.

Pakej itu bertujuan merangsangkan ekonomi Malaysia dan mengurangkan kesan buruk yang timbul daripada penularan COVID-19 serta ketidaktentuan luaran lain.

Ia akan diumumkan Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Pengumuman (pakej rangsangan) ini akan membantu memulihkan keyakinan pelabur dalam pasaran, yang telah mengalami tekanan baru-baru ini disebabkan ketidakpastian dalam landskap politik tempatan serta COVID-19,” menurut catatan di akaun Twitter beliau semalam.

Malaysia bukan satu-satunya negara yang merancang pakej rangsangan bagi menangani krisis berikutan penularan COVID-19.

Singapura dilaporkan merupakan negara pertama di rantau ini yang memperkenalkan pakej rangsangan, seperti yang diumumkan minggu lepas sempena pembentangan belanjawan republik itu, diikuti Indonesia dan paling terbaru, Hong Kong.

Thailand turut bercadang mengemukakan langkah yang sama kepada kabinetnya pada pertengahan Mac.

Ia berharap dapat menyelamatkan segera ekonominya, terutama sektor pelancongan yang amat penting setelah terjejas teruk ekoran jangkitan tersebut.

Sementara itu, Ketua Pakar Strategi Pasaran AxiCorp Stephen Innes berkata pelabur asing telah membuat permintaan semula terhadap bon Malaysia memandangkan Bank Negara Malaysia dijangka mengurangkan kadar faedah pada tempoh akan datang.

“Ia satu langkah positif yang kecil dalam tempoh bebanan politik semasa, yang terus mempengaruhi ringgit,” katanya.

Sementara itu, ringgit juga didagangkan tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0149/0210 daripada 3.0205/0245 ketika ditutup pada Rabu serta tinggi berbanding yen Jepun kepada 3.8185/8259 daripada 3.8280/8335.

Ringgit naik berbanding pound Britain kepada 5.4407/4514 daripada 5.4679/4761 semalam dan stabil berbanding euro kepada 4.5909/6002 daripada 4.5980/5047.

— BERNAMA





Source link

Related Posts