Artikel Terkini

Risau Dengan Kewangan Anda Kerana Pandemik Covid-19? 6 Tips Untuk Mengatasinya


Sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan pandemik Covid-19 sebulan yang lalu, terdapat pelbagai isu yang telah ditimbulkan oleh rakyat Malaysia, dan salah satunya ialah masalah kewangan. 

Dengan penutupan banyak sektor perniagaan kecuali perkhidmatan penting, ramai yang menghadapi masalah kekurangan atau ketiadaan pendapatan.

Golongan yang mempunyai pekerjaan tetap mungkin boleh menarik nafas lega kerana Kementerian Sumber Manusia telah memberi amaran kepada majikan untuk tidak memotong gaji pekerja sepanjang tempoh PKP. 

Tetapi, bagi golongan yang bekerja sendiri, hampir 50% daripada mereka telah kehilangan pekerjaan setelah PKP dikuatkuasakan, menurut sebuah tinjauan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia yang dilaporkan The Star

Bagi golongan yang bekerja sendiri dan masih bekerja pula, hampir 95% mengalami penurunan pendapatan, dan daripada jumlah ini, 35.5% telah mengalami penurunan pendapatan sebanyak 90%.

Tinjauan tersebut juga mendapati bahawa 71.4% pekerja yang bekerja sendiri mempunyai simpanan yang tidak dapat bertahan lebih daripada satu bulan dan 81.9% daripada mereka tidak bersedia (dari segi kewangan) sekiranya PKP diperpanjangkan lagi.

Kita telahpun memasuki PKP Tahap 3. Dalam keadaan yang tidak menentu ini, pastinya ramai di antara kita yang risau dengan kewangan masing-masing. Berikut merupakan enam tips untuk mengatasi kerisauan tersebut:

1. Senaraikan dan dapatkan bantuan yang anda layak terima

Berdasarkan kepada kategori anda (seperti pendapatan isi rumah dan status perkahwinan) dan perbelanjaan isi rumah (contohnya seperti bil Internet dan sewa rumah), senaraikan dan dapatkan bantuan yang berkaitan yang anda layak terima sepanjang PKP secepat yang mungkin, contohnya seperti Bantuan Prihatin Nasional.

Jika anda memenuhi kriteria tetapi tidak layak/tidak lulus, permohonan rayuan Bantuan Prihatin Nasional untuk B40 dan M40 boleh dibuat mulai 3 April 2020 sehingga 30 April 2020 secara dalam talian di Portal Rasmi Bantuan Prihatin Nasional, https://bpn.hasil.gov.my.

2. Pastikan anda layak mendapatkan penangguhan bayaran balik pinjaman/pembiayaan untuk Individu dan PKS

Bagi individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), penangguhan dalam pinjaman konvensional atau obligasi pembayaran balik pembiayaan Islam (kecuali kad kredit) akan dilaksanakan secara automatik oleh bank dan institusi kewangan pembangunan (IKP) jika pinjaman/pembiayaan memenuhi kriteria yang berikut:

  • Tidak tertunggak melebihi 90 hari pada 1 April 2020; dan
  • dalam denominasi Ringgit Malaysia.

Penangguhan ini hanya selama 6 bulan, tetapi anda boleh hubungi bank anda jika memerlukan tempoh penangguhan yang lebih lama.

Sekiranya anda memilih untuk menangguhkan bayaran balik pinjaman/pembiayaan, rekod CCRIS anda TIDAK akan terjejas. 

Walau bagaimanapun, faedah/keuntungan akan terus terakru (yakni diambil kira) ke atas pembayaran balik pinjaman/pembiayaan yang ditangguhkan dan peminjam/pelanggan perlu menunaikan pembayaran balik yang tertangguh pada masa akan datang.

Untuk maklumat lanjut, baca Soalan Lazim Mengenai Langkah-Langkah untuk Membantu Individu, PKS dan Syarikat Korporat yang Terjejas oleh Wabak COVID-19 yang dijawab oleh Bank Negara Malaysia.

3. Ketahui hak anda sebagai penyewa

Dalam laporan Astro Awani, penyewa di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur kini tidak perlu membayar sewa selama enam bulan mulai April.

Selain itu, menurut AskLegal, penyewa-penyewa kedai dalam pusat membeli-belah mungkin berhak menangguhkan bayaran sewa mereka sekiranya kontrak sewaan mereka mempunyai klausa force majeure

Lain pula halnya dengan penyewa rumah kediaman (bukan PPR dan PA). Agak mustahil untuk penyewa rumah bergantung kepada force majeure untuk mengenepikan atau menangguhkan sewa selama beberapa bulan. 

Namun terdapat satu cara di mana penyewa rumah boleh meminta penangguhan, iaitu dengan meraihkan doktrin kekecewaan (doctrine of frustration). Anda boleh baca selanjutnya di laman AskLegal.

4. Utamakan keperluan asas

Jika anda tidak mempunyai wang simpanan yang mencukupi, utamakan keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal, dan utiliti terlebih dahulu. Elakkan membeli barangan yang tidak penting dan membeli makanan di luar dan banyakkan memasak untuk lebih penjimatan. Potong sebarang perbelanjaan yang tidak perlu.

5. Jual barang atau perkhidmatan dalam talian untuk menambah pendapatan

Anda boleh jual barangan terpakai yang masih elok di laman-laman seperti Mudah dan Carousell untuk menambah pendapatan. 

Anda juga boleh menawarkan perkhidmatan dalam talian, seperti penulisan SEO/teknikal, senireka grafik, pengeditan video, dan sebagainya.

Selain itu, jika anda mempunyai kenderaan yang bersesuaian serta lesen memandu, anda boleh menjadi rider bagi Foodpanda, GrabFood, dan apa sahaja platform khidmat penghantaran makanan atau barangan yang ada.

6. Dapatkan sokongan emosi jika anda tertekan

Situasi yang penuh dengan ketidaktentuan sepanjang PKP berlangsung serta kerisauan akibat pandemik Covid-19 boleh menyebabkan tekanan emosi yang hebat. Anda boleh lihat senarai talian psikososial percuma ini bagi mendapatkan sokongan emosi.

Kredit: Assidq.com

Tentang Sedania As Salam Capital Sdn Bhd

As-Sidq (TM) adalah sebuah platform perisian dipaten milik oleh Sedania As Salam Capital Sdn Bhd yang kukuh dan berskala dengan rekod prestasi terbukti lebih daripada 350,000 transaksi bernilai RM38 bilion. Perkhidmatan patuh syariah sepenuhnya, yang mudah diintegrasikan ke dalam mana-mana sistem dan proses sedia ada melalui API, kini digunakan oleh lebih daripada 40 institusi kewangan dan 7 bank di Malaysia. Misi teras As-Sidq (TM) adalah untuk membantu pelanggan mencari produk kewangan Islam yang sempurna dan menyampaikannya kepada mereka dalam masa yang sesingkat mungkin.

Sebagai peneraju industri dalam platform perdagangan komoditi Tawarruq untuk kewangan peribadi Islam, As-Sidq (TM) membantu institusi-institusi kewangan untuk memasar, mengenal pasti dan meluluskan pembiayaan peribadi Islam dengan menawarkan pemeriksaan profil pelanggan yang komprehensif dari DSR kepada CTOS / CCRIS. Ini membolehkan penyerahan petunjuk hangat yang membolehkan kelulusan hampir dijamin.



Source link