Artikel Terkini

Risiko Kemelesetan Ekonomi Dunia Kini Berada di Paras 90% – JP Morgan


Lihat saja mana-mana pasaran pada hari ini seperti indeks saham, bon, atau komoditi; kesemuanya menunjukkan kebarangkalian yang tinggi berlakunya kemelesetan ekonomi.

JP Morgan memberitahu pelanggannya
pada minggu lalu bahawa pasaran menunjukkan peluang untuk kemelesetan berlaku
kali ini berada di paras 90%.
Kemelesetan secara umumnya adalah keadaan di mana berlakunya
pertumbuhan ekonomi negatif selama enam bulan berturut-turut.

Keadaan semakin teruk kini apabila kita melihat pasaran bon. Minggu lalu pasaran panik apabila hasil bon 10-tahun kerajaan Amerika Syarikat jatuh di bawah paras satu peratus yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Ia semakin teruk apabila ia jatuh lagi di bawah paras 0.5% pada hari Isnin (9 Mac 2020) yang menimbulkan seribu satu pertanyaan kerana ia tidak pernah berlaku dalam kemelesetan ekonomi sebelum ini.

Apa Sebenarnya Yang Berlaku?

Ekonomi dunia sebenarnya seakan diasak bertubi-tubi oleh risiko yang berlaku pada hari ini. Penularan koronavirus yang mencetuskan krisis kesihatan di seluruh dunia menjadi risiko kepada ekonomi kerana orang ramai takut untuk melakukan sebarang aktiviti di luar rumah.

Orang ramai membatalkan tiket penerbangan, perjalanan dan mengurangkan perbelanjaan untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan lebih buruk di masa hadapan.

Dunia pada hari ini juga menyaksikan lambakan bekalan minyak mentah di mana berita terbaru pada lewat Ahad (8 Mac 2020) menyatakan bahawa Arab Saudi tidak akan mengurangkan pengeluarannya selepas Rusia berdegil untuk tidak menyokong cadangan OPEC pada minggu lepas.

Hal ini telah menyebabkan harga minyak mentah menjunam sebanyak 30% pada pembukaan pasaran hari Isnin sehingga penanda aras West Texas Intermediate (WTI) mencecah harga serendah $US27 setong, satu harga di mana pengeluar di luar Arab Saudi akan mengalami kerugian dan gagal bertahan jika ia berterusan.

Setakat ini koronavirus di China menunjukkan tanda-tanda perlahan daripada segi tambahan kes positif setiap hari, tetapi di negara-negara lain seperti Itali, Amerika Syarikat dan Asia seakan baru bermula. Tambahan kes yang dicatatkan di Itali meningkat saban hari dan Malaysia juga mencatatkan tambahan kes yang semakin banyak.

Kita melihat kes koronavirus di negara-negara ini akan terus meningkat memasuki suku kedua tahun 2020 sebelum ekonomi dijangka naik semula pada musim panas nanti sekitar bulan Jun.

Sektor Pengguna Kian Merasai Tekanan

Ekonomi Amerika Syarikat bakal mendapat impak besar
dan mencetuskan kemelesetan dunia berdasarkan pendapat pakar-pakar ekonomi.
Sebab itulah, pelabur di seluruh dunia kini panik dengan keadaan semasa.

“Kita menuju ke arah yang
semakin dekat dengan kemelesetan ekonomi”, demikian kata penganalisa
ekonomi Claudia Sahm, salah seorang pakar dalam kajian kemelesetan ekonomi.

Industri pelancongan adalah yang paling berisiko
ketika ini di mana sektor penerbangan dan perhotelan sudah merasai tekanan.
Lapangan terbang kini tidak sesibuk dahulu dengan banyaknya pembatalan laluan
penerbangan dan lebih teruk lagi tempahan di masa hadapan juga merosot. Di
Malaysia, Malindo Air dilaporkan telah meminta stafnya untuk menerima 50%
pengurangan gaji dan juga dua minggu cuti tanpa gaji.

Jika tekanan kepada ekonomi berterusan, ia akan
menyebabkan ramai orang kehilangan pekerjaan di seluruh dunia dan menyebabkan
mereka tidak dapat berbelanja.

Di Amerika Syarikat, hasil kajian
menunjukkan 40% rakyatnya mengalami kesukaran untuk membayar bil mereka sebelum
menularnya koronavirus. Ini akan memberi lebih tekanan kepada mereka dengan
Amerika Syarikat kini telah mencatat 708 kes positif setakat pada hari Selasa
(10 Mac).

Perbelanjaan pengguna di Amerika Syarikat mewakili 70%
daripada keseluruhan ekonomi. Jika ramai yang kehilangan sumber pendapatan atau
ramai yang bimbang dengan keadaan semasa, mereka akan mengurangkan perbelanjaan
dan seterusnya ia akan memberi impak negatif kepada keseluruhan ekonomi negara
itu.

Risiko ‘Credit Crunch’ Yang Dahsyat

Nourel Roubini yang digelar sebagai “Dr. Doom” kerana ramalan pesimistik beliau menyatakan kejatuhan pasaran pada Isnin (9 Mac 2020) adalah satu lagi amaran bahawa ekonomi global menghampiri kemelesetan. Apa yang berlaku pada Isnin adalah kejatuhan harga minyak mentah sebanyak 30% dengan saham-saham Eropah, Asia dan Amerika Syarikat merekodkan kejatuhan lebih daripada 5%. Dalam masa yang sama hasil bon 10-tahun AS jatuh di bawah paras 0.5%.

Roubini berkata dalam tempoh beberapa
hari lagi tajuk utama berita akan melaporkan penularan koronavirus yang semakin
meningkat di Eropah dan Amerika Syarikat.
Hal ini katanya akan menyebabkan
junaman aset-aset berisiko seperti saham dan komoditi. Dalam masa yang sama
tambahnya, harga emas dan bon akan melonjak.

Bagi Roubini, krisis kredit yang akan berlaku pada
tahun 2020 adalah lebih buruk kerana ia bukan hanya disebabkan kejatuhan harga
minyak mentah tetapi juga sektor-sektor lain.

Majalah The Economist meramalkan berlakunya ‘credit crunch’ yang dahsyat. Credit crunch di sini bermaksud ketiadaan wang untuk dipinjam atau pengetatan syarat secara tiba-tiba untuk mendapatkan pinjaman daripada bank.

Pihak berautoriti seperti bank pusat telah bertindak melonggarkan dasar kewangan seperti yang dilakukan oleh Federal Reserve (The Fed), Bank of Canada (BoC) termasuk juga Bank Negara Malaysia (BNM).

The Fed pada 3 Mac 2020 telah mengumumkan pemotongan kadar faedah dasar (Fed Fund Rate) sebanyak 50 mata asas yang membawa kadar ke paras 1.25%. Bank pusat Kanada juga mengikuti jejak langkah The Fed dengan menurunkan kadar faedahnya sebanyak 0.50% kepada 1.25%.

Ini adalah usaha bank pusat untuk menyediakan satu
keadaan pasaran kewangan yang terus akomodatif untuk menyokong aktiviti ekonomi
dengan risiko pasaran yang kian meningkat.

Namun, pakar berpendapat ia tidak
cukup untuk menggerakkan ekonomi kerana risiko penularan koronavirus
menyebabkan orang ramai takut untuk melakukan aktiviti di luar rumah.

Sumber Rujukan:

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Photo by Zdeněk Macháček on Unsplash



Source link