Uncategorized

Saham CIMB naik susulan unjuran optimistik berhati-hati



KUALA LUMPUR: Saham CIMB Group Holdings Bhd meningkat pada sesi dagangan pagi ini berikutan pelabur kekal optimistik berhati-hati dengan unjuran syarikat selepas mencatatkan keputusan kewangan suku kedua yang lemah.

Pada 11.37 pagi, saham CIMB naik tujuh sen kepada RM5.01 dengan 4.49 juta saham diniagakan.

Public Investment Bank dalam nota penyelidikan hari ini berkata CIMB masih mampu mencatatkan keuntungan bersih RM2.7 bilion bagi separuh pertama tahun kewangan 2019, terdiri daripada 54 peratus pelaburan dan 55 peratus anggaran konsensus tahun penuh, disebalik mencatatkan keuntungan bersih tahun ke tahun lebih lemah sebanyak 24 peratus pada suku kedua.

“Kami anggap angka ini secara meluas adalah selaras dengan jangkaan potensi penguncupan margin dan kos kredit lebih tinggi di masa akan datang,” katanya.

Menurutnya keadaan masih positif berikutan peruntukan pinjaman terus menunjukkan trajektori positif manakala aktiviti pasaran modal menyumbang kepada dagangan dan pertukaran asing berkaitan pendapatan yang lebih kukuh.

“Kami melihat skop bagi pendapatan berada pada aliran meningkat, khususnya jika pendedahan syarikat di peringkat serantau mencatatkan pemulihan lebih signifikan,” katanya.

Katanya dengan operasinya di Indonesia akan memainkan peranan lebih penting, bank pelaburan itu optimistik dengan prospek jangka lebih panjang CIMB disebalik berdepan beberapa cabaran dalam jangka terdekat.

AllianceDBS Research dalam nota berasingan berkata CIMB masih lagi dan proses peralihan untuk tempoh dua tahun akan datang dengan perbelanjaan diutamakan kepada pelaburan untuk memacu pertumbuhan bagi strategi Forward23, yang berobjektif untuk memacu pertumbuhan dan daya tahan perniagaannya.

“Walaupun terdapat beberapa kejutan positif dalam bentuk pelarasan dan keuntungan daripada pelupusan, masih belum dapat dilihat dengan jelas jika kumpulan akan menjana pulangan pada asas mampan.

“Kami berpandangan sasaran CIMB bagi pulangan 12-13 peratus ke atas ekuiti pada 2023 adalah optimistik dan akan memerlukan keadaan pasaran yang lebih memihak,” katanya.

Public Investment mengekalkan saranan “Outperform” terhadap CIMB dengan harga sasaran tidak berubah pada RM5.80.

AllianceDBS mengekalkan saranan “Pegang” dengan harga sasaran RM5.35 ke atas CIMB.

— BERNAMA





Source link

Related Posts