Artikel Terkini

SC Kenakan Pertuduhan ke atas Bekas Perunding Unit Amanah kerana Menipu Pelabur


Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengenakan pertuduhan ke atas seorang bekas perunding unit amanah Afkariah binti Md Norani kelmarin kerana menggunakan wang yang diterima daripada orang awam untuk berdagang dalam akaun peribadi dagangan sahamnya.

Afkariah, juga dikenali sebagai Dr Afkar Norani, dikenakan pertuduhan menipu dalam pelaburan empat individu berjumlah RM50,000 antara Ogos 2015 dan November 2016.

Dia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini untuk menghadapi empat pertuduhan di bawah subseksyen 179(b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA). Jika didapati bersalah, dia menghadapi hukuman penjara tidak melebih 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM1 juta.

Afkariah didakwa mengemukakan kepada pelabur tersebut satu skim pelaburan di bawah RHB Investment Bank Bhd (RHBIBB), walhal skim itu tidak wujud di RHBIBB. Wang yang didepositkan kemudiannya telah digunakan untuk urus niaga saham dalam akaunnya sendiri di RHBIBB.

Mahkamah Sesyen membenarkan ikat jamin sebanyak RM60,000 dengan seorang penjamin. Afkariah juga dikehendaki menyerahkan pasportnya dan melapor kepada Pegawai Penyiasat SC sebulan sekali sehingga selesai perbicaraan.

SC ingin mengingatkan semua pelabur agar berhati-hati sebelum melabur wang mereka. Orang ramai boleh merujuk senarai waspada SC bagi senarai laman sesawang, produk, syarikat dan individu yang tidak diberi kebenaran. Orang ramai juga boleh menghubungi Hal Pengguna dan Pelabur SC di talian 03-6204 8999 / aduan@seccom.com.my untuk maklumat lanjut.

Mengenai Suruhanjaya Sekuriti Malaysia:

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), sebuah badan berkanun yang melapor kepada Menteri Kewangan, ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. Ia merupakan agensi kawal selia tunggal bagi pengawalseliaan dan pembangunan pasaran modal. SC mempunyai tanggungjawab langsung untuk menyelia dan memantau aktiviti institusi pasaran, termasuk bursa dan rumah penjelasan, dan mengawal selia semua individu yang dilesenkan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Maklumat lanjut mengenai SC boleh didapati di laman sesawangnya di www.sc.com.my. Ikuti SC di twitter di @SecComMy untuk perkembangan terkini





Source link