Artikel Terkini

SC: Penipuan Firma Klon Kian Meningkat


Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini telah mengeluarkan amaran kepada masyarakat yang melabur mengenai peningkatan penipuan firma klon di mana firma penipuan akan menubuhkan syarikat mereka agar kelihatan seperti pengantara pasaran modal yang berlesen atau berdaftar dengan SC, bagi tujuan menipu pelabur.

Para penipu ini akan menggunakan nama, logo, bukti kelayakan, laman sesawang dan butiran lain penganntara pasaran modal yang sah untuk mempromosi skim pelaburan palsu melalui saluran media sosial seperti Facebook, WhatsApp dan Twitter, dengan menjanjikan pulangan tinggi yang luar biasa dengan sedikit risiko.

Mangsa penipuan biasanya diarahkan untuk mendeposit sejumlah wang ke dalam bank akaun peribadi yang mengaku mewakili entiti berlesen yang sah, dan/atau akaun korporat.

Sebilangan entiti pasaran modal berlesen telah membuat aduan mengenai pengklonan identiti korporat mereka oleh individu atau organisasi yang tidak dikenali. Mana-mana individu yang terlibat dalam penipuan sekuriti, menyamar sebagai pengantara pasaran modal atau menjalankan aktiviti yang dikawal selia tanpa lesen atau pendaftaran yang sah daripada SC, telah melakukan kesalahan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan jika disabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga sepuluh tahun dan denda.

SC mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika mempertimbangkan peluang pelaburan, terutama yang menjanjikan pulangan yang sangat tinggi dengan sedikit atau tanpa sebarang risiko. Pelabur juga dianjurkan agar mengesahkan status individu atau syarikat yang menawarkan peluang pelaburan melalui laman sesawang SC di:

(a) www.sc.com.my/regulation/licensing/licensed-and-registered-persons
dan
(b) www.sc.com.my/development/digital/list-of-registered-recognized-market-operators

Orang ramai yang mengesyaki bahawa mereka telah didatangi oleh syarikat atau individu yang tidak berlesen yang menawarkan peluang pelaburan, boleh membuat laporan kepada Jabatan Pengguna dan Pelabur kami di 603 6204 8999 atau e-mel kepada [email protected].

Mengenai Suruhanjaya Sekuriti Malaysia:
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), sebuah badan berkanun yang melapor kepada Menteri Kewangan, ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. Ia merupakan agensi kawal selia tunggal bagi pengawalseliaan dan pembangunan pasaran modal. SC mempunyai tanggungjawab langsung untuk menyelia dan memantau aktiviti institusi pasaran, termasuk bursa dan rumah penjelasan, dan mengawal selia semua individu yang dilesenkan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Maklumat lanjut mengenai SC boleh didapati di laman sesawangnya di www.sc.com.my. Ikuti SC di twitter di @SecComMy untuk perkembangan terkini.



Source link