Uncategorized

Sistem perbankan Malaysia terus tunjukkan tahap permodalan kukuh – BNM

Sistem perbankan Malaysia terus tunjukkan tahap permodalan kukuh - BNM 1



Sistem perbankan Malaysia terus tunjukkan tahap permodalan kukuh - BNM 2

KUALA LUMPUR: Sistem perbankan Malaysia terus mengekalkan tahap permodalan yang kukuh dalam keadaan keuntungan yang berterusan dan persekitaran kualiti aset yang lebih baik, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Sistem perbankan terus mencatatkan keuntungan yang kukuh pada 2018, disokong sebahagian besarnya oleh aktiviti pembiayaan dan peningkatan kecekapan yang berterusan, menurut BNM dalam Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2018 yang dikeluarkan di sini hari ini.

Katanya kualiti aset bank kekal kukuh dan pada peringkat agregat terus bertambah baik, dengan pinjaman terjejas kasar dan bersih menurun berbanding tahun lepas dari segi nilai mutlak dan sebagai bahagian daripada jumlah pinjaman.

Katanya pembiayaan oleh sektor perbankan termasuk perbankan Islam terus menyokong kegiatan ekonomi pada 2018 apabila jumlah pembiayaan terkumpul meningkat dengan lebih cepat sebanyak 5.6 peratus kepada RM1,673.5 bilion.

BNM berkata pembiayaan isi rumah mencakupi 57.3 peratus daripada jumlah pembiayaan yang diberikan oleh sektor perbankan, berkembang sebanyak 5.6 peratus pada 2018, selepas mengalami tempoh pertumbuhan yang sederhana berikutan pelaksanaan langkah kehematan makro pada 2013 bertujuan menggalakkan pemberian pinjaman yang lebih bertanggungjawab.

“Pembiayaan sektor perniagaan pula turut mencatatkan pertumbuhan yang lebih kukuh sebanyak 5.4 peratus, disumbangkan terutamanya oleh pembiayaan kepada sektor pembinaan bagi menyokong projek-projek infrastruktur seperti Lebuhraya Pan Borneo dan LRT 3,” menurut BNM.

Katanya pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terus menjadi tumpuan strategik institusi perbankan, dengan peningkatan yang ketara sejak beberapa tahun lepas, apabila pembiayaan daripada PKS merupakan hampir separuh daripada pembiayaan terkumpul kepada sektor perniagaan.

“Sektor perbankan terus menyokong PKS pada 2018, dengan pembiayaan sebanyak RM65.5 bilion diluluskan untuk disalurkan kepada 108,700 akaun PKS,” katanya.

Bagi institusi kewangan pembangunan (IKP), BNM berkata ia terus memainkan peranan penting dalam menyokong sektor ekonomi strategik dan memajukan matlamat pembangunan dan sosioekonomi Malaysia.

“Jumlah pembiayaan terkumpul IKP yang bernilai RM143.1 bilion pada akhir 2018, disalurkan terutamanya kepada segmen infrastruktur, PKS, eksport, pertanian dan isi rumah yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan.

“Khususnya, pembiayaan kepada PKS dan sektor pertanian, masing-masing mencatatkan pertumbuhan dua angka, sebanyak 11.7 peratus dan 10.7 peratus,” katanya.

BNM berkata IKP juga menyumbang sebahagian besar (75.5 peratus) daripada pembiayaan kepada usahawan mikro di bawah Skim Pembiayaan Mikro, dengan pengeluaran pinjaman berjumlah RM292.2 juta pada 2018, dengan jumlah pembiayaan terkumpul di bawah skim ini sebanyak RM910.7 juta pada akhir 2018.

Pada masa depan, katanya usaha untuk menginstitusikan rangka kerja baharu dan memastikan rangka kerja ini dilaksanakan dengan berkesan akan terus menjadi keutamaan untuk IKP dan tumpuan aktiviti pengawalseliaan dan penyeliaan BNM.

Katanya BNM turut berbincang dengan kerajaan untuk mengkaji semula landskap IKP bagi mengambil kira pembangunan dalam sistem kewangan dan perubahan dalam struktur dan keutamaan ekonomi Malaysia untuk memberi tumpuan lebih mendalam pada mandat IKP sambil memaksimumkan prestasi dan sinergi.

Katanya BNM menyokong kemajuan teknologi yang dapat meningkatkan kualiti, kecekapan dan akses kepada perkhidmatan kewangan, dan Pengawalseliaan Teknologi Kewangan (Sandbox) terus menjadi saluran penting untuk menguji penyelesaian kewangan dan model perniagaan yang inovatif.

Malaysia telah meraih kejayaan yang besar dalam rangkuman kewangan hasil usaha yang gigih sejak beberapa tahun lepas dalam menggalakkan akses dan penggunaan perkhidmatan kewangan kepada semua segmen masyarakat, menurut BNM.

Pusat mengakses kewangan boleh didapati hampir di semua mukim, digerakkan oleh bank ejen yang diperkenalkan sejak 2012 manakala data dari segi penawaran yang diberikan oleh institusi kewangan menunjukkan 95 peratus orang dewasa di Malaysia mempunyai akaun deposit, katanya.

Katanya kajian terbaharu yang dijalankan pada 2018 telah menunjukkan penggunaan produk kewangan dan saluran digital yang meningkat.

— BERNAMA





Source link

Related Posts