Artikel Terkini

Spotify, Perintis Industri Muzik Di Era Baru


Ketika era milenium baru bermula, industri muzik telah mengalami perubahan yang sangat besar yang telah menyebabkan kebanyakan pemuzik generasi lama sukar untuk bertapak di dalam industri  muzik.

Jika era 1990-an, mereka mendapat royalti yang sangat luar biasa kesan daripada penjualan album mereka tetapi bermulanya era milenium, mereka berdepan dengan fenomena baru apabila format muzik telah ditukar kepada format digital.

Ini menyebabkan sebahagian besar album yang terdapat di dalam format kaset atau cakera padat tidak dapat menembusi pasaran dan mengalami penurunan jualan yang sangat besar.

Banyak laman web haram seperti Napster telah melanggar harta intelek kebanyakan artis dengan menyebarkan lagu-lagu mereka dalam versi digital secara haram melalui platform mereka.

Ia menjadikan era digital pada ketika itu merupakan suatu era yang baru yang perlu diterima oleh kebanyakan penggiat seni muzik. Banyak artis generasi lama yang tidak dapat menerima kenyataan tersebut dan telah bersara akibat daripada kekecewaan terhadap industri itu sendiri.

Dengan kemunculan iPod dari Apple yang laris bagaikan pisang goreng pada ketika itu, aktiviti cetak rompak semakin aktif dan pihak berkuasa sukar untuk membendung aktiviti tersebut. Laman web perkongsian haram juga semakin bertambah kerana permintaan terhadap muzik digital yang semakin meningkat.

Disebabkan masalah ini sukar dikawal, maka seorang rakyat Sweden bernama Daniel Ek telah menubuhkan sebuah syarikat streaming muzik yang bertujuan untuk menghalang aktiviti cetak rompak. Beliau telah melancarkan Spotify secara rasmi pada tahun 2006.

Syarikat ini menyediakan perkhidmatan streaming muzik berbayar dan juga percuma. Spotify telah bekerjasama dengan ramai artis rakaman di seluruh dunia untuk membenarkan rakaman mereka digunakan di dalam platform tersebut.

Ini adalah langkah terbaik untuk mana-mana artis rakaman dalam usaha menghalang kegiatan cetak rompak yang berlaku dengan berleluasa pada ketika itu.

Syarikat ini semakin berkembang dari tahun ke tahun dan mula meluaskan operasi syarikat mereka keluar dari Sweden. Spotify telah menjadikan United Kingdom sebagai lokasi operasi utama mereka dan dua tahun kemudian, mereka  telah melebarkan sayap mereka ke Amerika Syarikat.

Mereka telah berjaya bekerjasama dengan syarikat gergasi muzik di Amerika dan bilangan pelanggan mereka semakin bertambah setiap tahun.

Walaupun begitu, terdapat juga artis yang tidak bersetuju dengan syarat yang dikenakan oleh  Spotify terhadap pembayaran royalti bagi hasil muzik mereka. Di antara artis popular yang tidak bersetuju dengan syarat yang dikenakan oleh Spotify adalah Taylor Swift dan juga vokalis kumpulan Radiohead, Thom Yorke yang tidak membenarkan lagu mereka dimainkan di platform tersebut.

Dengan kejayaan yang dibuktikan oleh Spotify, syarikat gergasi teknologi ini mula mengorak langkah di dalam  perkhidmatan streaming mereka. Apple Music yang dilancarkan pada tahun 2015 adalah merupakan pesaing terkuat mereka.

Selain Apple, Amazon dan Google juga turut tidak ketinggalan dalam melancarkan perkhidmatan mereka yang hampir sama dengan Spotify.

Walaupun begitu, sehingga ke hari ini Spotify masih lagi menduduki takhta di dalam bilangan pengguna yang aktif. Mereka kini mempunyai sebanyak 130 juta pelanggan.

Pun begitu, seperti syarikat teknologi start-up yang lain, mereka masih lagi mengalami kerugian di dalam operasi mereka. Di antara sebab utama adalah Spotify masih lagi  menyediakan perkhidmatan percuma kepada pelanggan mereka.

Mereka juga turut menyediakan sudut pengiklanan di dalam platform mereka untuk menjana pendapatan sampingan selain daripada pelanggan yang berbayar.

Kini Spotify telah meluaskan lagi operasi mereka dengan membeli hak eksklusif  podcast selebriti terkenal seperti Joe Rogan dan Kim Kardashian dalam usaha untuk mengukuhkan lagi kedudukan mereka di dalam pasaran di Amerika Syarikat.

Sumber Rujukan:

Sumber: TradingView

Kalau nak tahu, saham Spotify didagangkan di pasaran saham Amerika Syarikat (New York Stock Exchange). Dalam masa setahun, harga saham telah meningkat hampir 100%.

Jemput baca juga, Adakah Saham Facebook, YouTube, Twitter, Netflix Dan Spotify, Patuh Syariah?

Iklan


Iklan



Source link