Artikel Terkini

Suami Baru Meninggal Dunia, Apa Isteri Perlu Buat?


Kematian adalah perkara yang pasti berlaku kepada semua makhluk yang bernyawa.

“Setiap jiwa pasti akan merasakan mati.” – (Surah Ali-Imran : 185)

Samada kita bersedia atau tidak, apabila tiba masanya kita semua akan berpindah ke alam yang seterusnya; iaitu alam barzakh sebelum menuju alam akhirat.

Selalu bila kita dengar orang-orang di sekeliling kita ditinggalkan oleh pasangan, kita tidaklah terasa sangat. Tetapi bila ianya terjadi kepada diri sendiri, baru kita tahu betapa peritnya.

Pemergian orang yang tersayang adalah merupakan perkara yang amat sedih dan menyakitkan kerana setelah bertahun-bertahun hidup bersama, akhirnya terpaksa berpisah dengan asbab kematian.

Walaubagaimanapun, sebagai seorang isteri, anda perlu tahu apa yang mesti dilakukan setelah suami anda meninggal dunia.

Berikut adalah beberapa perkara yang mesti seorang isteri tahu apabila suami meninggal dunia.

1. Saya ada akses akaun bank dan wang tunai arwah suami. Boleh ke saya gunakan untuk kelangsungan hidup kami anak-beranak?

Secara asas, apabila seseorang meninggal dunia, semua harta yang dimiliki semasa hayatnya akan menjadi harta pusakanya.

Harta pula secara ringkas dapat dibahagikan kepada dua, iaitu:

  1. Harta tak alih seperti rumah dan tanah
  2. Harta alih seperti duit tunai, akaun bank dan kenderaan

Seperti yang kita telah sedia maklum, selepas seseorang itu meninggal dunia, duit dalam akaun bank si mati akan menjadi beku (freeze). Ianya ditahan oleh pihak bank sehingga waris dapat mengemukakan surat-surat berkaitan untuk mengeluarkan duit tersebut.

Tapi proses untuk bank membekukan akaun orang yang mati juga mengambil masa beberapa hari.

Jadi dalam tempoh itu bolehkah si isteri mengeluarkan duit (sebelum dibekukan) untuk kegunaan dirinya sendiri?

Sebelum menjawab persoalan ini, perlu difahami dahulu bagaimanakah cara untuk menguruskan duit tunai arwah tersebut.

  • Gunakan untuk mengurus jenazah, mandi, kafan dan kebumikan.
  • Gunakan untuk melunaskan semua hutang arwah. Hutang dengan Allah seperti nazar atau hutang dengan manusia seperti kad kredit, cukai LHDN, PTPTN dan lain-lain.
  • Jika ada wasiat yang ditinggalkan, sempurnakan wasiat arwah. Tidak lebih daripada 1/3 harta pusaka.
  • Dibahagikan kepada waris-waris berhak mengikut faraid.

Jadi secara tidak langsung telah menjawab persoalan adakah boleh isteri gunakan tunai yang ditinggalkan arwah untuk dirinya.

Secara umumnya, duit tunai arwah suami yang dipegang isteri tidak boleh digunakan terus untuk dirinya.

Walaubagaimanapun, si isteri boleh meminta kebenaran dan izin daripada semua waris yang berhak ke atas pusaka suami untuk gunakan duit tersebut.

Tetapi yang penting, dua urusan pertama; urus jenazah dan hutang si suami dilunaskan dahulu.

Waris-waris lain yang berhak ke atas pusaka suami boleh melepaskan hak mereka kepada ipar mereka (isteri si mati).

2. Boleh ke saya tuntut nafkah saya dan anak-anak daripada harta pusaka suami?

Seorang suami wajib memberikan nafkah kepada isteri dan anak-anaknya.

Walaubagaimanapun, kewajipan tersebut terhenti sebaik sahaja si suami meninggal dunia.

Tetapi si isteri boleh menuntut hak nafkah yang sepatutnya diberikan suami semasa hidupnya.

Dengan kata lain hak nafkah isteri dan anak adalah hutang suami yang telah meninggal dunia tersebut.

Tuntutan nafkah yang tertunggak tersebut boleh dibuat di Mahkamah Syariah.

3. Sebelum meninggal dunia, suami telah meletakkan saya sebagai penama bagi akaun KWSP, Tabung Haji dan takaful suami. Boleh saya guna untuk manfaat saya dan anak-anak?

Semak balik jenis penamaan yang dimaksudkan dengan merujuk di pejabat yang berkaitan.

Secara umumnya, terdapat dua jenis penamaan bagi akaun-akaun yang disebutkan di atas.

  • Penamaan wasi atau pemegang amanah
  • Penamaan benefisiari (Hibah)

Sama ada Tabung Haji atau pun takaful, ketiga-tiganya memberi pilihan kepada pemilik akaun untuk menamakan warisnya sebagai pemegang amanah atau benefisiari.

*Nota: akaun KWSP tidak boleh dihibahkan.

Jika suami anda meletakkan nama anda sebagai pemegang amanah, maka ia berbalik kepada hukum pusaka seperti yang dibincangkan sebelum ini.

Manakala jika suami anda meletekkan nama anda sebegai benefisiari, maka duit daripada akaun tersebut 100% menjadi hak anda.

4. Boleh ke saya nak dapatkan lebih daripada bahagian faraid yang sepatutnya saya dapat?

Jika mengikut pembahagian faraid, isteri akan mendapat 1/8 daripada harta pusaka suami jika mereka mempunyai anak dan 1/4 jika tiada anak.

Berbalik kepada persoalan di atas, boleh ke seorang isteri mendapatkan lebih lagi daripada 1/8 atau 1/4 harta pusaka suami?

Jawapannya boleh, ada dua cara:

  1. Melalui permohonan tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Syariah.
  2. Melalui rundingan harmoni bersama semua waris memohon pelepasan hak faraid.

Cara yang pertama isteri boleh membuat tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Syariah bagi harta-harta yang diperoleh sepanjang tempoh perkahwinan.

Melalui tuntutan ini, sekiranya berjaya, isteri akan mendapat bahagian daripada Harta Sepencarian bersama suami dan juga bahagian daripada faraid.

Oleh itu, ya bahagian pusaka yang diperoleh isteri lebih banyak berbanding hanya mendapat bahagian daripada faraid.

Tetapi perlu diingat, apabila melibatkan urusan mahkamah, ada kos-kos yang perlu si isteri keluarkan. Dan ianya sudah pasti bukan murah.

Alternatif kepada membuat tuntutan harta sepencarian adalah dengan perbincangan bersama semua waris yang dipimpin oleh seorang kaunselor pakar supaya pembahagian harta pusaka si mati berjalan lancar dan harmanoi.

Kaunselor akan membantu semua waris memahami bahagian-bahagian faraid yang waris berhak terima seterusnya membantu waris untuk mencapai kata sepakat bagaimana harus dibahagikan harta pusaka tersebut.

Kesimpulan

Sememangnya sukar berhadapan dengan kematian suami lebih-lebih lagi pada hari atau minggu pertama pemergian si dia. Tetapi jangan lupa tentang tanggungjawab kita sebagai waris untuk menguruskan pusaka arwah suami.

Memang kadangkala urusannya rumit dan memeningkan. Oleh itu carilah mereka yang pakar tentang pengurusan pusaka dan minta mereka uruskan.

Dan sebab itu, adalah lebih baik jika si suami telah pun merancang pusakanya sebaik mungkin semasa hidupnya. Ini bagi memudahkan urusan isterinya nanti.

Ditulis oleh Fakhrur Radzi, seorang konsultan di sebuah firma runding perancangan harta dan urus pusaka. Beliau mengendalikan laman web fakhrurradzi.com. Untuk sebarang pertanyaan boleh hubungi beliau di sini.



Source link