Artikel Terkini

Tabung Haji Perkenal Borang Rayuan


Bermula hari Selasa, 28 Januari 2020 para pemilik akaun Tabung Haji (TH) boleh mengemukakan rayuan Haji melalui Borang Rayuan yang seragam. Borang ini mendapat perhatian ramai apabila terdapat pilihan membayar RM22,900 untuk menunaikan haji tanpa bantuan oleh pihak TH.

Boleh muat turun borong tersebut di sini: https://go.aws/3aTuYU0

Ia memberikan gambaran bahawa bagi sesiapa yang berkemampuan, mereka boleh memotong giliran. Walaubagaimanapun, TH telah membuat penjelasan bahawa pilihan tersebut telah wujud sekian lama dan bukannya syarat tetapi dibuat secara sukarela.

Dalam penjelasan yang dibuat, TH menegaskan bahawa bakal tetamu haji dengan pihak TH termasuk mereka yang berjaya dalam proses permohonan akan membayar RM9,980 seperti sebelum ini.

Bagi proses rayuan, keutamaan tetap diberikan kepada mereka yang membuat rayuan disebabkan menemani mahram, lanjut usia, dan mereka yang terpilih pada tahun 2019 tetapi terpaksa menangguhkan pemergian haji mereka. Selain itu keutamaan juga diberikan kepada mereka yang gilirannya adalah pada tahun 2021.

Syarat Berkemampuan

Di antara syarat khusus dalam ibadah haji adalah berkemampuan. Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang dimaksudkan dengan berkemampuan ialah mampu menunaikan fardhu haji samada dengan sendirinya atau dengan pertolongan orang lain.

Ini berdasarkan
firman Allah SWT:

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ
سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan
Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah,
iaitu sesiapa yang mampu sampai kepada-Nya.” (Surah ali-Imran: 97)

Juga menurut
hadith daripada Saidina Umar RA bahawasanya seorang lelaki bertemu Rasulullah
SAW dan berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا يُوجِبُ الْحَجَّ قَالَ: الزَّادُ
وَالرَّاحِلَةُ

Maksudnya:
“Wahai Rasulullah! Apakah antara sebab yang mewajibkan haji? Baginda bersabda:
Ada bekalan dan kenderaan.” Riwayat al-Tirmizi (813) Ibn Majah (2896)

Bagi syarat
berkemampuan dengan sendirinya, maksudnya seseorang itu mampu menyediakan
bekalan untuk diri dan keluarga mereka yang di dalam tanggungan dan yang
ditinggalkan, mampu mendapatkan kenderaan pergi dan balik, aman perjalanan bagi
diri dan harta daripada musuh, bebas daripada ancaman wabak penyakit, dan sihat
tubuh badan.

Bagi syarat
berkemampuan dengan pertolongan orang lain pula, maksudnya seseorang itu telah
cukup semua syarat untuk mengerjakan ibadah haji tetapi dia uzur kerana sakit
dan tiada harapan sembuh atau terlalu tua dan orang yang telah meninggal dunia
dan mampu mengerjakan haji semasa hayatnya. Maka mereka boleh mewakilkan kepada
orang lain untuk menunaikan fardhu haji bagi pihak dirinya.

Hukum Membuat Pembiayaan Atau Pinjaman Bagi Urusan Haji

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan juga, hukum melaksanakan ibadah haji melalui pembiayaan institusi kewangan atau pinjaman daripada individu adalah dibolehkan dan diharuskan dengan mematuhi tiga syarat berikut:

1. Pinjaman kewangan yang dilakukan itu tidak mempunyai unsur-unsur riba. Ini kerana hukum riba telah jelas dinyatakan haram di dalam al-Quran. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَأَحَلَّ اللَّـهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا

Maksudnya: “Dan
Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.” (Surah
al-Baqarah: 275)

2. Mempunyai jaminan pendapatan yang melebihi bekalan diri serta orang yang di dalam tanggungannya untuk membayar pembiayaan secara bulanan kelak. Bagi mereka yang tidak mempunyai lebihan wang daripada pendapatannya atau pendapatannya hanya sekadar mencukupi untuk kehidupan sehariannya dan mempunyai risiko terbeban dengan pembayaran pembiayaan kelak, maka kewajipan untuk melaksanakan ibadah haji tergugur daripadanya.

3. Pinjaman yang dilakukan itu dibuat di atas dasar menyegerakan perintah Allah SWT di dalam melaksanakan rukun Islam semata-mata. Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَرَادَ الْحَجَّ فَلْيَتَعَجَّلْ فَإِنَّهُ قَدْ يَمْرَضُ
الْمَرِيضُ وَتَضِلُّ الضَّالَّةُ وَتَعْرِضُ الْحَاجَةُ

Maksudnya:
“Barangsiapa yang ingin menunaikan ibadah haji maka bersegeralah untuk
menunaikannya kerana tidak diketahui bila masa sakit itu menyerang seseorang
atau kenderaannya hilang ataupun datang keperluannya yang lain.” Riwayat Ibn
Majah (2883)

Kesimpulan

Kemampuan
merupakan salah satu syarat wajib yang harus dipenuhi bagi sesiapa yang ingin
menunaikan ibadah haji. Oleh itu, bagi sesiapa yang tidak berkemampuan maka
gugurlah kefardhuan haji ke atasnya disebabkan kekurangannya. Bagi yang masih
muda, tanamkan azam untuk menunaikan haji di usia muda dengan melakukan
persediaan awal. Persediaan itu merangkumi persediaan kesihatan, kewangan, dan
ilmu pengetahuan.

Walaupun dari
segi hukumnya harus membuat pembiayaan atau pinjaman untuk menunaikan haji,
bukankah lebih elok andai kita menyimpan dan melaburkan simpanan itu untuk
menjadi bekalan haji kelak. Apabila pulang daripada haji, kita tidak terbeban
dengan bebanan hutang yang perlu dilunaskan.

Letakkan sasaran bagi tahun ini, hanya dengan RM27.40 sehari kita mampu menyimpan RM10,000 setahun. Bayangkan andai jumlah itu dilaburkan pula, mungkin cukup untuk menjadi bekalan kita dan keluarga sepanjang 40 hari haji di sana.  

Moga kita semua
dapat menjadi tetamu Allah kelak. Ameen.

Ditulis oleh Arham Merican, pegawai Shariah di salah sebuah bank Islam antarabangsa dan sedang melanjutkan pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Pengajian Pembangunan. Meminati bidang ekonomi dan Shariah dengan fokus pada pemberdayaan modal insan.



Source link