Artikel Terkini

Takaful Dan Insurans Bukan Sekadar Perlindungan


Ramai yang tak gemar apabila ejen Takaful atau insurans menghubungi mereka. Mereka menganggap pelan yang ditawarkan sekadar perlindungan untuk kematian dan juga penyakit kritikal.

Namun, sekarang tidak lagi demikian.

Syarikat Takaful dan insurans bukan sahaja menawarkan pelan perlindungan tradisional, tetapi hakikatnya lebih daripada itu. Kini, pelan perlindungan datang dengan pakej yang lebih menarik. Kini mereka berusaha untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap produk yang ditawarkan.

Mereka mempromosikan program kecergasan dan turut memberi inisiatif menarik kepada pemegang polisi yang mengamalkan gaya hidup sihat.

Inisiatif boleh diberikan dalam bentuk “cashback” atau pun diskaun untuk keahlian gimnasium, pemeriksaan kesihatan dan juga diskaun semasa berbelanja di pasar raya terpilih. Pemegang polisi juga boleh mendapat kadar premium yang lebih rendah jika matlamat kesihatan tercapai.

Dengan ini, pemegang polisi bukan sahaja mendapat manfaat ketika berlaku kemalangan, tetapi turut mendapat faedah lain sebelum berlakunya hal yang tidak diduga.

Perkhidmatan tambahan ini boleh ditawarkan dengan kemajuan teknologi pada masa ini. Terdapat alat canggih seperti “tracker device” dan platform teleperubatan yang boleh diguna pakai untuk menjejak aktiviti yang dilakukan oleh para pemegang polisi.

Salah satu faktor lain perkhidmatan ini ditawarkan adalah disebabkan peningkatan kadar penyakit tidak berjangkit seperti darah tinggi, kanser paru-paru dan kencing manis di negara kita.

Penyakit ini boleh dielakkan jika kita mengamalkan gaya hidup dan pemakanan yang sihat. Dengan adanya program kecergasan ini, para pemegang polisi akan mendapat kesedaran awal betapa pentingnya untuk menjaga kesihatan dan melindungi diri serta keluarga.

Di antara program kecergasan yang ditawarkan di Malaysia adalah seperti Pulse daripada Prudential, AIA Vitality daripada AIA serta Step It Up dan Step It Up+ daripada Axa Affin.

Apa tunggu lagi? Bagi yang belum mempunyai perlindungan takaful atau insurans, ini adalah peluang anda untuk mendapatkan pelan perlindungan serta faedah dan ganjaran yang menarik ini!

Ditulis oleh Abang Yazree Hazwan. Penulis merupakan seorang Eksekutif di sebuah syarikat penyelidikan pasaran di Malaysia. Mempunyai pengalaman dalam bidang insurans/reinsurans di syarikat reinsurans tempatan.

Sumber Rujukan: https://www.theedgemarkets.com/article/insurance-protection-prevention-living-benefits



Source link