Artikel Terkini

Taman Tasik Titiwangsa dibuka semula, kini dengan wajah baharu



KUALA LUMPUR: Jika sebelum ini anda mungkin mendapati pengalaman beriadah di Taman Tasik Titiwangsa, tidak begitu menyeronokan disebabkan fasilitinya yang kurang memuaskan.

Namun, kini Taman Tasik Titiwangsa tampil dengan wajah baharu dan dibuka kepada orang awam bermula hari ini.

Selain penambahbaikan fasiliti, beberapa tarikan terbaharu turut dibina buat warga kota yang ingin meluangkan hujung minggu bersama keluarga.

Dari sudut lanskapnya, ia menyaksikan perubahan hampir keseluruhan taman itu dengan penambahan pokok Kemuning yang mempunyai bau wangiannya tersendiri di ‘Maze Garden’.

Manakala pokok air juga ditanam di sepanjang tasik bertujuan menapis air agar menjadi lebih bersih.

Selain landskap, turut dibina buat pertama kalinya ialah taman permainan dan taman permainan air kanak-kanak yang menjadi antara ‘wow factor’ di situ.

Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, taman itu dibuka lebih awal daripada acara rasminya yang dijadual tahun depan bagi memberi ruang kepada warga kota meluangkan masa bersama keluarga ketika musim cuti sekolah.

“Inilah kita hendakkan, tagline tahun depan ‘People meet Kuala Lumpur’ ‘Smart People’, kita hendak bagi kehidupan berkualiti kepada orang Kuala Lumpur.

“Ini salah satu cara kami lakukan di Taman Tasik Titiwangsa, ini sebagai projek utama untuk kita berikan kepercayaan kepada orang ramai. Saya sangat berharapkan dengan adanya taman ini, ia berkaitan dengan Pelan Tempatan 2040 untuk menjadikan Kuala Lumpur lebih baik, tiada terpinggir dengan kehijauan dan infrastrukturnya,” katanya ketika ditemui.

Menelan perbelanjaan lebih RM100 juta, hasilnya ternyata memberi satu kepuasan buat warga kota yang berkunjung untuk beriadah.

Bagi anda yang suka berbasikal dan joging, trek yang lebih besar dan teratur disediakan.

Lebih mengujakan, apabila anda boleh merasai pengalaman meniti di ‘Canopy Brige’ sambil diselubungi kabus buatan sekaligus menerapkan elemen ‘Forest in the City’.

Tidak hanya boleh dinikmati segelintir golongan rakyat, Taman Tasik Titiwangsa kini juga dikenali sebagai taman mesra Orang Kurang Upaya (OKU).

Menurut Penolong Pengarah (Landskap) Jabatan Pembangunan Landskap dan Rekreasi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Landskap Arkitek Mohd Anuar Ahmad berkonsep ‘inklusiviti’ turut diterapkan di taman itu.

“Berkonsepkan ‘inklusiviti’ taman ini turut dibina sebagai taman mesra OKU, malah ada permainan yang disediakan khas buat kanak-kanak Autistik dan Cerebral Palsy.

“Kita mendapat respons yang baik golongan kurang upaya ini. Ini adalah salah satu inisiatif baharu DBKL untuk membuka kepada orang awam.” jelas LAr. Mohd Anuar

Taman tasik itu kini 95 peratus siap dibina dan akan dirasmikan pada tahun 2020.





Source link