Artikel Terkini

Teknik ‘Average Down’ Yang Sesuai Dilakukan Ketika Pasaran Sedang ‘Down’


Umum tahu bahawa pasaran saham sedunia sedang mengalami kejatuhan dan telah memasuki ‘bear market’ apabila jatuh lebih daripada 20% daripada paras tertinggi yang pernah dicatatkan.

Di dalam keadaan pasaran yang sedang mengalami tekanan jualan akibat penyebaran wabak Covid-19 ini, pastinya ramai pelabur yang mempunyai pegangan dan sedang mengalami kerugian (paper loss). Di antara teknik yang boleh digunakan ketika berhadapan dengan situasi kejatuhan harga saham adalah dengan menggunakan teknik Average Down.

Average Down merupakan teknik atau pun strategi pelaburan di mana pelabur membeli lagi saham bagi menambah unit saham yang telah dimiliki dengan harga yang lebih rendah. Dengan pembelian ini, pelabur dapat mengurangkan purata kos bagi seunit saham yang dimiliki.

Sebagai contoh, seorang pelabur mempunyai 100 unit saham Megah Holding yang dibeli pada harga RM1 yang menjadikan jumlah kos sebanyak RM100. Apabila harga saham tersebut jatuh kepada RM0.50, pelabur tersebut membeli lagi 100 unit dengan harga yang diniagakan dan kos belian kedua adalah RM50.

1 Januari 2020
Beli 1 lot pada harga RM1 seunit = RM100
Harga purata seunit = RM100 / 100 unit = RM1.00

1 Februari 2020
Beli 1 lot pada harga RM0.50 seunit = RM50
Kos purata = RM100 + RM50 = RM150
Harga purata seunit = RM150 / 200 unit = RM0.75

Jumlah kos pegangan akan bertambah menjadi RM150. Namun begitu, teknik ini akan mengurangkan kos bagi seunit saham yang sebelum ini pada RM1 seunit menjadi RM0.75 seunit.

Beli Pada Harga Diskaun

Kelebihan teknik ini adalah pelabur memerlukan peratus kenaikan harga yang lebih rendah dengan harga purata kos seunit berbanding kos seunit yang asal sekiranya pelabur ingin membuat keuntungan.

Sebagai contoh, harga saham Megah Holding kini diniagakan dengan nilai RM0.50 seunit. Pelabur yang membeli dengan kos seunit RM1 memerlukan kenaikan sebanyak 102% dari harga saham semasa (RM0.50 kepada RM1.01) bagi membuat keuntungan manakala pelabur yang mempunyai purata kos seunit RM0.75 hanya memerlukan kenaikan harga sebanyak 51% dari harga semasa (RM0.50 kepada RM0.755) bagi membuat keuntungan.

Risiko Harga Lambat Naik, Modal Sangkut

Namun begitu, teknik ini juga mempunyai risiko yang perlu diambil kira oleh pelabur. Pelabur perlu menilai risiko sekiranya harga saham kekal menurun dan akan menyebabkan kerugian yang lebih tinggi berikutan jumlah unit yang dimiliki dan jumlah kos bertambah.

Sekiranya harga saham Megah Holding terus menurun kepada RM0.40, jumlah kerugian yang dialami jika pelabur tidak membuat average down akan menjadi RM60. Jumlah kerugian jika pelabur membuat average down seperti contoh di atas pula akan menjadi RM70.

Justeru itu, para pelabur haruslah bijak menganalisa impak positif dan juga impak negatif daripada keputusan yang bakal diambil. Situasi pasaran yang berbeza, memerlukan teknik pelaburan yang berbeza.

Fundamental Syarikat Adalah Penting

Teknik average down ini sangat sesuai jika syarikat yang kita nak ‘hold’ untuk jangka masa panjang adalah syarikat yang mempunyai Fundamental yang kukuh. Syarikat dengan jualan yang meningkat, syarikat yang mempunyai pendapatan yang meningkat, syarikat yang mempunyai keuntungan yang meningkat.

Tetapi disebabkan keadaan ekonomi atau pasaran yang merudum, harga saham syarikat turut jatuh. Tetapi Fundamental syarikat sebenarnya masih kukuh.

Jangan pula gunakan teknik Average Down untuk syarikat dengan Fundamental yang lemah. Syarikat dengan jualan yang menurun, syarikat dengan pendapatan yang menurun, syarikat dengan keuntungan yang menuun. Lagi teruk, jika syarikat tengah rugi.

Silap haribulan masuk senarai PN17 atau GN3, seterusnya delisted daripada pasaran saham. Habis semua modal kita hangus dalam syarikat nanti.

Sebab Itu Trading Plan Sangat Penting

Sebelum tekang butang Buy, pastikan kita dah ada Trading Plan. Kena tahu 5 perkara ini terlebih dahulu:

  • Entry Price
  • Support
  • Stop Loss
  • Resistance
  • Target Price

Cakap banyak pun tak guna, jemput baca Anda Wajib Ada Trading Plan Sebelum Membeli Apa-Apa Pun Saham.



Source link