Artikel Terkini

Tiga beradik anak OKU disantuni media Kelantan menjelang Aidilfitri


KOTA BHARU: Kurang 10 hari lagi, seluruh umat Islam akan menyambut Syawal dalam suasana yang amat berbeza.

Susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), umat Islam disaran supaya terus berada di rumah dan mengamalkan norma baru kehidupan termasuk mengehadkan aktiviti kunjung mengunjung.

Namun, bagi sebuah keluarga empat beranak di Lundang, kehidupan dalam sebuah rumah yang serba kekurangan dan berselerak merencatkan keceriaan sambutan hari raya.

Nurul Syafikah Fauzi, 11, adiknya Nurul Natasha, 10, dan Mohd Fitri Syawal, 8, berserta bapa mereka Fauzi Hassan, 51, seorang kelainan upaya (OKU) tinggal di sebuah rumah kecil ihsan pemberian pemilik tanah.

Namun, ketiadaan ibu mereka yang dihantar pulang ke Indonesia sejak tiga tahun lalu menyebabkan kehidupan mereka tidak terurus serta rumah yang berselerak.


Terpanggil untuk membantu dan menceriakan kehidupan keluarga ini, wakil Astro AWANI Kelantan bersama wartawan Harian Metro dan Sinar Harian bersepakat membantu mengemas rumah mereka.

Kerja amal ini juga turut mendapat bantuan empat anggota Bomba dan Penyelamat Kota Bharu dan sukarelawati.

Kata Ketua Biro Sinar Harian Kelantan, Rosmiza Kassim, dana untuk mengemaskan kediaman berkenaan dikumpul sendiri pihak media.

“Untuk sama-sama membersih, mengindahkan menceriakan sebuah rumah yang didiami oleh seorang bapa OKU bersama tiga anaknya, kami mengambil inisiatif mengumpul dana sendiri untuk memberi keceriaan dalam musim PKP ini.

“Mereka dapat tinggal dalam keadaan bersih sebab sebelum ini rumah ini kotor, kami turun membersihkan rumah ini,” katanya.

Berbekalkan sumbangan wang daripada insan prihatin, kumpulan ini membersih sampah sarap di dalam rumah, membuang pakaian yang tidak digunakan, menukar tikar getah, memasang rak dan sebagainya supaya kelihatan terurus.


Wakil Astro AWANI Kelantan, Vivi Sumanti Che Ahmad berkata selepas lebih empat jam, timbunan sampah termasuk pakaian dan barangan rosak dibuang dan dilupuskan.

Walaupun rumah mereka daif dan dimakan anai-anai, empat beranak ini masih mempunyai ruang bersih dan tersusun untuk mereka tinggal dalam keadaan lebih selesa berbanding sebelumnya.

Sementara itu, Fauzi dan anak-anaknya terharu dengan kejutan yang dibuat oleh sebahagian pengamal media Kelantan.

Rumahnya kini lebih bersih dan kemas dan dapat memberikan keselesaan kepada anak-anaknya yang tidak dapat keluar kerana PKP.

Keadaan dirinya yang mengalami kecacatan membataskan aktiviti hariannya termasuk menguruskan rumah.

Sepanjang bulan Ramadan juga, kebanyakan aktiviti memasak sama ada untuk berbuka dan bersahur diuruskan oleh dua anak perempuannya.





Source link