Artikel Terkini

Tindakan boikot sawit dorong tanaman, eksport komoditi kurang efisien – Penasihat PBB



KUALA LUMPUR: Tindakan memboikot komoditi yang dikaitkan dengan pembasmian hutan akan hanya menggalakkan eksport komoditi sama namun mempunyai ciri-ciri piawaian alam sekitar yang jauh lebih rendah.

Penasihat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Fazlun Khalid berkata pihak Kesatuan Eropah (EU) juga secara tidak langsung mengakui bahawa pendekatannya sebelum ini bagi menghentikan pembasmian hutan akibat minyak sawit juga berkemungkinan besar tidak berjaya.

Menurutnya, makalah terbitan Ketua Pengarah bagi Dasar-Dasar Luar EU Parlimen Eropah turut memetik kajian saintifik terbaharu bahawa usaha yang hanya menumpukan pengurangan import minyak sawit adalah tidak berkesan dari segi alam sekitar.

“Sebaliknya, makalah itu merumuskan bahawa “adalah lebih berkesan dan kurang kos sekiranya Malaysia dan Indonesia” – pengeluar terbesar minyak sawit dunia – melaksanakan satu moratorium mengenai pembasmian hutan (menyasarkan kawasan terbabit).

“Ini kerana tindakan memboikot minyak sawit itu sebaliknya hanya mengalihkan permintaan terhadap minyak sayuran kurang efisien yang menggunakan lebih banyak tanah dan berpotensi menggalakkan pembasmian hutan yang jauh lebih buruk,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ruangan komentar Euractiv, satu rangkaian media bebas pan-Eropah yang khusus dalam dasar-dasar EU.

Fazlun yang juga Pengasas Islamic Foundation for Ecology and Environmental Sciences dan penulis “Signs on the Earth – Islam, Modernity and the Climate Crisis” berkata tindakan boikot itu juga memberi isyarat kepada negara pengeluar itu bahawa pelaksanaan kaedah pengeluaran mampan adalah sia-sia kerana Eropah tidak akan membeli minyak sawit itu.

“Persoalannya adalah bagaimana untuk menyalurkan insentif kepada negara-negara sedang membangun untuk melaksanakan dasar-dasar berkesan membabitkan usaha pemuliharaan hutan,” katanya.

Malah, kata beliau, Jawatankuasa Pertanian EU menerusi satu laporan baru-baru ini menggesa supaya diwujudkan kerjasama perdagangan inklusif baharu dengan Global South yang merupakan cubaan bagi menangani isu berkenaan.

Jawatankuasa itu turut memberi amaran bahawa hanya standard atau piawaian alam sekitar secara mandatori atau wajib serta boleh dilaksanakan mengikut undang-undang dapat menghentikan pembasmian hutan ini.

Namun, pada masa sama, ia mengambil maklum bahawa piawaian sedemikian tidak boleh dilaksanakan secara sebelah pihak dan memerlukan persetujuan negara pengeluar.

Fazlun juga menggesa EU untuk melaksanakan pendekatan berbentuk gabungan ganjaran serta penalti dari segi perjanjian perdagangan.

“Persoalan besar yang tiada dalam tindak-tanduk EU setakat ini adalah bagaimana untuk mencapai kerjasama itu? Ada satu cara iaitu menerusi kerjasama dengan Global South yang bermaksud melaksanakan pendekatan ganjaran dan penalti yang agresif dalam perjanjian perdagangan.

“Negara-negara yang menepati piawaian alam sekitar boleh disenaraikan untuk perjanjian perdagangan bebas sebaliknya negara yang enggan berbuat demikian akan diketepikan daripada meja rundingan. Ini akan menjadi satu langkah besar bagi merangsang revolusi ekonomi hijau secara global.

“Di Malaysia, terdapat banyak sebab bagi usaha itu. Piawaian Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) adalah skim pensijilan minyak sawit dengan mandat kerajaan dan pertama seumpamanya di dunia serta di peringkat nasional yang boleh dilaksanakan menerusi undang-undang,” jelas beliau.

Berbeza dengan skim-skim lain seperti Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) yang lebih terarah kepada pengeluar korporat, beliau berkata skim MSPO sebaliknya adalah wajib untuk semua pengeluar minyak sawit dan lebih mudah dari segi akses untuk pekebun kecil serta terikat dengan denda untuk mereka yang enggan mematuhinya.

“Malangnya, EU masih ketinggalan. Laporan Ketua Pengarah itu misalnya memetik penyelidikan lama dari tahun lepas untuk menuduh bahawa Malaysia dan Indonesia, “dalam cubaan mengehadkan pembasmian hutan bagi tujuan penanaman sawit, terbukti gagal mencapai matlamat ditetapkan : kurang satu pertiga daripada pengeluaran minyak sawit itu mempunyai pensijilan dan seringkali berlaku pertindihan bagi kawasan terbabit.

“Namun, (tuduhan) ini tidak benar. Sejak menjadikan skim MSPO itu sebagai mandatori, sebanyak 63.2 peratus daripada ladang minyak sawit Malaysia mempunyai pensijilan MSPO setakat akhir 2019. Malah, Malaysia juga menyasarkan untuk memastikan pensijilan itu mencecah 100 peratus menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Selain itu, penyelidikan lanjutan baharu juga menunjukkan bahawa berbeza daripada hutan Amazon yang menyaksikan pembasmian hutan semakin ketara, skim MSPO itu sebaliknya terbukti berkesan, katanya.

Fazlun turut memetik Global Forest Watch bagi World Resources Institute yang berkata, kadar pembasmian hutan Malaysia telah berkurangan bagi tempoh tiga tahun berturut-turut – satu perkembangan yang disumbangkan usaha peringkat tempatan bagi mengurangkan aspek itu.

Kesemua ini, katanya, hanya membuktikan jurang persepsi EU dan fakta sebenar di lapangan selain memaparkan bahawa EU telah bertindak melulu dalam dasar pembasmian hutan tanpa memberi perhatian kepada fakta penting serta kurang melakukan libat urus dengan negara-negara yang sebaliknya terbukti mencatat kemajuan sebenar.

“Apa yang pasti, kita tidak boleh terlalu bersikap optimis. Kadar pembasmian hutan kekal di luar kawalan dan jika tidak bertindak sekarang, krisis COVID-19 misalnya telah membuktikan betapa rapuhnya peradaban manusia.

“Namun skim MSPO itu menunjukkan masih ada harapan untuk mencatat kemajuan yang mungkin boleh diperluaskan ke rantau lain yang berdepan masalah pembasmian hutan. Inilah alasan yang sepatutnya dijadikan EU untuk bekerjasama lebih erat dengan negara-negara sedang membangun dari segi sokongan berbanding menyisihkan usaha-usaha pemuliharan yang mendapat mandat negara.

“Ini juga membantu bagi mewujudkan kerangka kerjasama global baharu yang boleh menerapkan perdagangan barangan dan perkhidmatan mampan sambil menggunakan kuasa undang-undang untuk menamatkan pembasmian hutan,” katanya.

— BERNAMA





Source link

Related Posts