Uncategorized

Tinjauan Workforce of the Future: Hampir Separuh daripada Bakat STEM Milenial dan Generasi Z Berminat dengan Kerjaya dalam Industri Minyak dan Gas

Tinjauan Workforce of the Future: Hampir Separuh daripada Bakat STEM Milenial dan Generasi Z Berminat dengan Kerjaya dalam Industri Minyak dan Gas 1


HOUSTON, 13 Mac 2019 /PRNewswire/ — Industri minyak dan gas berdepan dengan persaingan sengit untuk menarik bakat sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), dengan 44% daripada Milenial dan Generasi Z (Gen Z) STEM berminat untuk meneruskan kerjaya dalam sektor minyak dan gas berbanding 77% dalam sektor teknologi, 58% dalam sektor sains hayat dan farmaseutikal serta 57% dalam sektor penjagaan kesihatan – menurut tinjauan “Workforce of the Future” global sulung yang dikeluarkan hari ini oleh Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) di CERAWeek oleh IHS Markit, acara tenaga ulung di dunia.

Tinjauan tersebut telah ditugaskan oleh ADNOC untuk mengkaji tenaga kerja masa depan dan trend pekerjaan dalam industri minyak dan gas, khususnya tatkala industri ini berusaha menarik bakat STEM dan mendayakan Zaman Perindustrian ke-4. Ini sejajar dengan misi Oil & Gas 4.0ADNOC untuk membantu memenuhi permintaan dunia yang semakin meningkat terhadap tenaga dan produk bernilai lebih tinggi – dengan menggalakkan budaya yang dinamik dan diterajui prestasi yang memupuk bakat dan mengaplikasikan teknologi terkini untuk mengoptimumkan sumber-sumber.

Tinjauan ini menyoal selidik pelajar-pelajar STEM dan ahli-ahli profesional muda berumur 15 hingga 35 tahun di 10 negara – merentas Amerika Utara, Eropah, Asia dan Timur Tengah, mewakili gabungan ekonomi global yang signifikan serta pengeluar dan pengguna minyak dan gas – dan melihat kepada persepsi mereka merentas pelbagai industri berkaitan STEM, termasuk minyak dan gas serta kemahiran yang dihargai dan dipercayai oleh mereka yang diperlukan untuk berjaya dalam industri-industri ini.

Dapatan utama termasuk:

  • “Gaji”, “keseimbangan kerja-kehidupan”, “kestabilan pekerjaan”, “kepuasan bekerja” dan “persekitaran kerja yang baik” disenaraikan sebagai lima pendorong utama di sebalik pilihan kerjaya berpotensi untuk Milenial dan Gen Z STEM.
  • Bakat STEM muda turut mengaitkan industri minyak dan gas dengan gaji yang tinggi dan melihatnya sebagai satu industri yang tidak ternilai. “Industri ini memberi gaji yang lumayan”, “industri ini penting untuk ekonomi dan pembangunan negara mereka” dan ia merupakan “industri yang diperlukan untuk hidup”, disenaraikan sebagai tiga sifat positif utama tentang industri ini.
  • Milenial dan Gen Z STEM menunjukkan minat paling tinggi dalam industri-industri yang mereka percaya akan paling terkesan oleh teknologi baharu. Di seluruh dunia, 42% berkata bahawa teknologi baharu akan memberi impak besar kepada industri minyak dan gas, manakala 56% menyatakan yang sama untuk industri penjagaan kesihatan, 52% untuk sains hayat dan farmaseutikal dan 73% untuk industri teknologi.

Tinjauan Workforce of the Future: Hampir Separuh daripada Bakat STEM Milenial dan Generasi Z Berminat dengan Kerjaya dalam Industri Minyak dan Gas 2

Tuan Yang Terutama Dr. Sultan Ahmed Al Jaber, Menteri Negara UAE dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ADNOC berkata: “Dapatan daripada tinjauan ‘Workforce of the Future’ menunjukkan bahawa semakin golongan Milenial dan Gen Z STEM mengaitkan minyak dan gas dengan teknologi baharu, semakin tinggi minat mereka terhadap kerjaya dalam industri ini. Industri minyak dan gas harus meletakkan industrinya sebagai kelebihan untuk teknologi dan menonjolkan betapa inovasi rintis adalah penting untuk setiap aspek dalam perniagaan kita – merentas rantaian nilai huluan dan hiliran.

“Ketika kita melangkah ke Zaman Perindustrian ke-4, kita perlu bersatu sebagai satu industri dan – bersama-sama rakan-rakan kongsi industri teknologi kami – menonjolkan peluang-peluang menarik yang ditawarkan oleh industri dinamik kita dengan lebih baik kepada bakat muda yang mempunyai kemahiran teknologi yang mantap,” tambah beliau.

Keputusan tersebut menunjukkan golongan Milenial dan Gen Z STEM dilihat berpecah dari segi sama ada minyak dan gas merupakan industri untuk masa depan (45%) atau pada masa lampau (44%). Data tersebut turut menunjukkan ketidaksepadanan antara apa yang dilihat oleh golongan Milenial dan Gen Z STEM sebagai kemahiran paling penting untuk berjaya secara profesional berbanding apa yang dilihat oleh mereka sebagai kemahiran paling penting untuk kerjaya dalam industri minyak dan gas.

Kemahiran “teknologi maklumat dan komputer” (37%) dan “daya kreativiti dan pemikiran inovatif” (33%) dilihat sebagai set kemahiran paling penting untuk berjaya pada masa depan, namun demikian hanya 18% melihat “IT dan komputer” dan “daya kreativiti dan pemikiran inovatif” sebagai kemahiran penting untuk kerjaya dalam industri minyak dan gas. Begitu juga, meskipun 26% berkata bahasa pengaturcaraan merupakan kunci untuk kejayaan profesional masa depan, hanya 11% melihatnya sebagai kemahiran penting dalam industri minyak dan gas.

Data tersebut turut menunjukkan bahawa sedikit sebanyak pengalaman dalam pasaran pekerjaan dan pengajian tinggi dalam subjek-subjek STEM dapat membantu mengubah persepsi secara positif ke arah kerjaya dalam sektor minyak dan gas. Biarpun minat adalah rendah dalam kalangan pelajar STEM di peringkat sekolah menengah (37% berminat dengan kerjaya dalam bidang minyak dan gas), angka ini meningkat kepada kira-kira separuh (51%) daripada ahli-ahli profesional muda yang berminat untuk meneruskan kerjaya dalam sektor tersebut – memperlihatkan peningkatan 14-mata.

T.Y.T. Dr. Al Jaber menambah: “Minyak dan gas sentiasa menjadi – dan akan terus menjadi – suatu industri masa depan yang mendepani teknologi dan inovasi. Ini merupakan detik yang mengujakan untuk bakat STEM bagi menyertai industri ini, khususnya tatkala kami memajukan misi Oil & Gas 4.0 kami dan menerima teknologi dan perkongsian baharu untuk transformasi digital dan teknologi merentas seluruh operasi kami,” simpul T.Y.T. Dr. Al Jaber.

Untuk memuat turun salinan tinjauan “Workforce of the Future” global sulung ADNOC, sila kunjungi www.adnoc.ae

Untuk maklumat lanjut tentang PSB Research, sila kunjungi www.psbresearch.com

Untuk maklumat lanjut tentang ADNOC sila kunjungi www.adnoc.ae

Sumber: ADNOC





Source link