Artikel Terkini

Tolong Jangan Hibahkan Semua Harta Kita Kepada Waris


Biasanya bila nak buat perancangan harta, di antara perkara pertama yang selalu orang nak buat adalah hibahkan harta untuk pasangan dan anak-anak. Nak pastikan isteri/suami dan anak-anak dapat manfaat harta peninggalan kita.

Terutamanya bagi pasangan suami isteri yang tidak mempunyai anak, atau tiada anak lelaki; waris faraid mereka akan melibatkan ibubapa dan adik beradik masing-masing.

Jadi pembahagian harta pusaka nanti
akan jadi rumit, ditambah pula jika waris-waris tidak bermuafakat.

Akhirnya pasangan dan anak-anak kita
yang terzalimi.

Oleh itu, merancang harta pusaka
melalui medium hibah untuk waris adalah sangat bagus dan dituntut untuk
menjamin kesejahteraan pasangan dan anak-anak selepas kita tiada nanti.

Walaubagaimanapun, janganlah
dihibahkan SEMUA harta kita untuk isteri/suami dan anak-anak sahaja.

Adalah satu kerugian apabila harta
yang kita kumpul di dunia ini hanya dapat memanfaatkan waris kita, tetapi tidak
dapat memberi manfaat kepada kita selepas kita meninggal dunia.

Merancang Harta Bukanlah Semata-Mata Hibah Sahaja

Apabila hendak merancang pusaka, sebelum nak hadiahkan (hibahkan) harta-harta kita kepada waris, pastikan dulu DUA perkara ini diutamakan. 

1) Perancangan untuk melunaskan hutang

2) Wasiat sedekah

Hidup kat dunia ni cuma satu fasa dalam banyak lagi kehidupan yang akan datang yang lebih panjang tempohnya.

Selepas alam dunia, kita akan melalui alam kubur, hari kiamat, padang Mahsyar dan seterusnya hinggalah ditentukan tempat kita sama ada ke syurga atau ke neraka.

Semua amal kita di dunia akan
ditimbang dan dinilai di hadapan Allah.

Jadi sebelum kita meninggal dunia dan berpindah ke alam satu lagi, adalah lebih baik jika kita dapat selesaikan semua urusan kita di dunia sekarang.

Jika masih berhutang rancanglah pelan untuk melunaskan hutang tersebut secepat mungkin.

Atau paling kurang, pastikan jika kita mati dan masih berhutang sekalipun; kita sudah tinggalkan duit untuk waris selesaikan hutang tersebut.

Biasanya kita akan sarankan supaya
ambil takaful hayat yang nilainya paling kurang sama banyak dengan jumlah
hutang semasa. Lebih tinggi lebih bagus.

Ingatlah sabda Sabda Rasulullah
salallahu ‘alaihi wasallam:

“Jiwa seorang mukmin tergantung dengan hutangnya sehingga
dilunaskan hutang baginya.”

[Hadith riwayat Tarmidzi: 1079]

Tentu kita tidak mahu roh kita tergantung selama mana waris kita tidak melunaskan hutang-hutang kita. Maka pastikan mereka ada duit yang cukup untuk lunaskan hutang.

Seterusnya, buatlah satu wasiat
khusus untuk kita sedekah atau wakafkan sebahagian harta kita (tak lebih 1/3)
untuk manfaat umum.

Banyak tempat yang boleh kita sedekahkan.

  1. Institusi pendidikan seperti sekolah dan pusat tahfiz. (Pastikan pusat tahfiz yang berdaftar)
  2. Masjid dan surau kawasan perumahan kita
  3. Badan bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan kerja-kerja kebajikan sama ada di dalam atau luar negara

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi
Muhammad s.a.w bersabda:

“Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga
perkara : sedekah jariah,atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau
anak yang soleh yang berdoa untuknya.”

Mudah-mudahan, sebahagian harta yang kita sedekahkan kepada mereka yang memerlukan akan memberatkan lagi timbangan amal kita di akhirat kelak, seterusnya membantu kita untuk masuk ke syurga Allah yang penuh dengan nikmat itu.

Ditulis oleh Fakhrur Radzi, seorang perunding harta pusaka di bawah Syarikat Pusaka KUDS Sdn Bhd. Selain aktif menulis perkongsian mengenai urus pusaka di Facebook, beliau kadangkala menerima jemputan untuk memberikan ceramah umum berkaitan urus harta pusaka.



Source link