Artikel Terkini

Tony Fernandes Bakal Terbang Lebih Tinggi Dengan Super Apps


Seperti yang diketahui umum, industri penerbangan dan pelancongan mengalami kerugian yang besar akibat daripada pandemik yang melanda dunia. Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini sahaja, industri pelancongan telah kerugian sebanyak $460 bilion di peringkat antarabangsa.

Industri penerbangan pula menyaksikan ada syarikat yang terpaksa membuang ramai pekerja dan bertahan dengan bantuan kewangan dari kerajaan negara masing-masing.

Industri penerbangan di negara kita juga turut tidak terlepas dengan krisis yang berlaku sekarang. Antara yang paling terjejas teruk adalah syarikat penerbangan tambang murah yang popular iaitu AirAsia.

Berbanding dengan Syarikat Malaysia Airlines, AirAsia tidak mendapat sebarang inisiatif dari kerajaan melainkan pinjaman  untuk beroperasi.

AirAsia yang mengalami kerugian sebanyak RM992 juta untuk suku tahun kedua dan pendapatan syarikat itu menjunam 96%, dari RM2.92 bilion kepada RM 118.96 juta. Dengan keadaan yang tidak menentu, syarikat ini telah mengurangkan kakitangan mereka sebanyak 30%.

Dengan hala tuju penerbangan yang samar dan tidak tahu bila akan pulih sepenuhnya, CEO AirAsia Tan Sri Tony Fernandes tidak perlu menunggu lama untuk memulihkan keadaan dengan kehadiran produk baru mereka yang dikenali sebagai Super App.

Kebanyakan perniagaan di atas talian tidak terjejas teruk berbanding dengan perniagaan offline. Menurut Tony Fernandes, Super App adalah sebuah hub aplikasi yang menyediakan pelbagai kemudahan kepada pelanggan yang menggunakan aplikasi tersebut.

Aplikasi ini bakal bersaing dengan Gojek, Food Panda dan juga Grab Car di dalam pasaran tempatan dan juga rantau Asean. Aplikasi ini adalah seakan aplikasi WeChat yang membolehkan pelanggan mereka turut membayar segala perkhidmatan melalui keadah cashless.

Selain daripada itu, Airasia juga telah membuka satu lagi cabang perniagaan mereka iaitu menubuhkan syarikat rakaman. Syarikat rakaman yang diberi nama sebagai RedRecords tersebut telah bekerjasama dengan syarikat rakaman gergasi dunia, Universal Music dan objektif utama syarikat ini adalah untuk membawa penyanyi dari Asia ke persada antarabangsa.

Di antara artis yang terkenal yang berada dibawah syarikat rakaman ini adalah Jannine Weigel. Beliau merupakan artis terkenal dari Thailand yang menandatangani kontrak pertama dengan RedRecords.

Sebelum Tony Fernandes mengasaskan AirAsia, beliau merupakan Vice President untuk Syarikat Warner Mucis selama 9 tahun. Beliau yang berpengalaman luas di dalam industri muzik ini akan memudahkan kerjanya mengurus syarikat rakaman barunya ini.

Beliau cukup yakin dengan hala tuju baru berteraskan perniagaan digital  yang bersesuaian dengan keadaan semasa. Sebelum ini juga, AirAsia merupakan syarikat pertama yang membenarkan pelanggan mereka membeli tiket secara atas talian di Malaysia.

Dengan mempunyai database pelanggan seramai 60 juta orang, Tony Fernandes yakin Super App ini dapat memberi saingan yang sengit dan menjana pendapatan yang lumayan.

Sumber Rujukan:

Iklan


Iklan



Source link