Artikel Terkini

Uniknya perkahwinan drive-thru, dapat pujian netizen



JOHOR : Pandemik COVID-19 yang melanda dunia menyebabkan ramai pasangan yang merancang perkahwinan mereka terpaksa akur untuk menunda atau membatalkan majlis tersebut.

Malah, ada di antara mereka yang mengalami kerugian apabila wang deposit untuk bayaran pelamin, katering, solekan dan hantaran tidak dikembalikan.

Menyedari normal baharu dan kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), pasangan pengantin Norazura Mohd Ali dan suaminya Agus Santosa Sidik mengambil keputusan untuk melangsungkan perkahwinan secara drive-thru.

Jelas Norazura, tetamu yang mahu hadir di majlis itu perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk menjalani pemeriksaan suhu. 

Dia memberitahu, pada awalnya, ibu dan adik-beradiknya tidak bersetuju untuk menjemput kira-kira 600 tetamu.

“Mereka khuatir jika majlis itu menjadi satu kesalahan dan melanggar SOP kerajaan.

“Saya lebih yakin untuk melangsungkan perkahwinan ini apabila mendapat isyarat baik daripada polis selagi tidak melanggar SOP,” katanya ketika ditemui di sini, pada Khamis.

Sementara itu, pemilik butik dan andaman Dinas, Noorsaidatull Asmah Mohamed Sidek yang merupakan pencetus idea konsep perkahwinan drive-thru itu berkata, dia terpaksa mengambil tanggungjawab besar untuk memastikan tetamu yang menghadiri majlis perkahwinan itu mematuhi SOP.

Katanya, tetamu perlu melalui tiga check point sebelum mereka dibenarkan ‘hadir’ ke majlis itu.

“Antaranya selepas memerika suhu badan, tetamu akan melalui kotak ‘salam keruk’ yang merupakan sebahagian daripada tradisi orang Johor bagi tetamu yang ingin memberi sumbangan wang sebelum ke khemah pengantin,” katanya.

Selepas melihat ‘hasil’ majlis itu, Noorsaidatull Asmah memberitahu, dia mendapat panggilan daripada ramai pasangan untuk menganjurkan majlis yang mematuhi SOP itu.

Konsep perkahwinan yang dilakukan oleh pasangan pengantin ini telah mendapat pujian ramai dan telah mendapat ribuan like di Facebook dan Twitter.

Sebaik dimuat naik, gambar mengenai majlis perkahwinan pertama kali disiarkan di Facebook oleh syarikat fotografi majlis itu menjadi tular. 





Source link