Artikel Terkini

Untung bersih suku kedua Maxis susut kepada RM343 juta



KUALA LUMPUR: Maxis Bhd mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah apabila susut 13.6 peratus kepada RM343 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2020 berbanding tahun lepas berikutan kerugian dialami perniagaan borong serta peningkatan rosot nilai membabitkan bayaran belum terima.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, penyedia perkhidmatan telekomunikasi itu berkata rosot nilai bayaran belum terima dan deposit meningkat lebih empat kali ganda kepada RM118 juta berikutan perubahan kadar pertukaran yang dijangka rendah bagi mendapatkan susut nilai dagangan belum terima.

“(Lembaga) Pengarah berpendapat bahawa pandemik COVID-19 dan impaknya terhadap ekonomi telah meningkatkan risiko kredit yang ketara. Berikutan itu, kadar kerugian yang dijangkakan kini bergantung kepada profil dan kerugian kredit sebelum ini yang dialami sejak penularan virus itu,” kata kenyataan itu.

Selain itu, perolehan Maxis bagi suku sama turut merosot kepada RM2.15 bilion daripada RM2.21 bilion.

Pada April lepas, syarikat itu menarik balik garis panduan mengenai unjuran bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2020 (TK2020) yang dikeluarkan pada 20 Feb akibat ketidaktentuan susulan penularan COVID-19.

Sementara itu, dalam kenyataan media, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Gokhan Ogut berkata syarikat itu merekodkan prestasi suku kedua yang kukuh walaupun dalam persekitaran mencabar.

Perolehan hasil perkhidmatannya kecuali hasil borong, adalah stabil pada RM1.89 bilion berbanding angka suku kedua TK19, dipacu oleh pertumbuhan penumpuan bagi menampan impak negatif COVID-19.

Ia turut mencatat pertumbuhan langganan tahun ke tahun yang berterusan bagi pasca bayar (+9.7 peratus) dan (jalur lebar) gentian (+32.6 peratus).

Permintaan data meningkat secara ketara dengan para pelanggan menggunakan data sebanyak 21.1 gigabit sebulan dari segi gabungan pada suku kedua itu yang juga 54.0 peratus lebih tinggi berbanding suku kedua TK19.

“Kami terus menerajui pasaran mudah alih dan mencatat pertumbuhan konsisten dalam penyelesaian liputan untuk individu, kediaman dan perniagaan.

“Selain itu, kami akan terus melabur dalam rangkaian untuk memberikan kesalinghubungan tetap dan mudah alih terbaik untuk para pelanggan. Pada masa sama, kami turut mempertingkat persediaan rangkaian 5G, terlibat dalam ujian oleh industri, perkongsian RAN (rangkaian akses radio) dan akan mengemukakan lebih banyak kes penggunaan dalam bulan-bulan akan datang,” kata Gokhan said.

Menurutnya, syarikat itu juga bersedia untuk melaksanakan 5G dan komited menawarkan inovasi 5G terbaik ke Malaysia apabila spektrum itu ditawarkan.

Dalam usaha mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju rangkaian 4G, Maxis telah melabur sebanyak RM259 juta bagi suku kedua TK20, sekali gus menjadikan perbelanjaan modalnya mencecah RM422 juta tahun ini.

Syarikat itu telah mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 4 sen sesaham bagi suku kedua 2020 berkenaan (suku kedua TK19 : 5 sen).

— BERNAMA





Source link

Related Posts