Uncategorized

Wakalah Bil Istismar, Sejenis Kontrak Pelaburan Syariah


Sebelum ini, kita ada belajar tentang lagi satu kontrak pelaburan yang bernama Mudarabah. Kebanyakan daripada kita menggunakan kontrak ini dalam pelaburan, kadang-kadang tanpa kita sedari.

Dan kali ini, jom kita berkenalan pula dengan lagi satu kontrak pelaburan patuh Syariah; iaitu Wakalah bil Istismar.

Apa Yang Dimaksudkan Dengan Wakalah bil Istismar?

Wakalah bil Istismar adalah salah satu kontrak yang digunakan dalam kontrak pelaburan dalam industri kewangan Islam. Wakalah bermakna wakil dan Istismar bermakna pelaburan, kontrak ini merujuk kepada satu perjanjian di mana satu pihak melantik satu pihak lain sebagai wakilnya dalam melakukan pelaburan sama ada dengan upah atau tanpa upah.

Mungkin pertama kali kita mendengar nama kontrak ini adalah apabila Tabung Haji (TH) membuat pertukaran kontrak Wadiah Yad Dhamanah kepada Wakalah bil Istismar akhir tahun lepas. Hakikatnya kontrak ini telah lama digunakan dan telah banyak diaplikasikan dalam industry kewangan Islam.

Baca: Akaun Wakalah TH Memberi Lebih Nilai Tambah Dan Manfaat Kepada Pendeposit

Aplikasi Wakalah Bil Istismar

Terdapat dua jenis kontrak Wakalah bil Istismar. Pertamanya Wakalah bil Istismar Terhad di mana projek atau perlaburan adalah terhad kepada syarat-syarat tertentu seperti kawasan projek, jenis projek, tempoh projek, dan sebagainya.

Jenis kedua pula adalah Wakalah bil Istismar Tidak Terhad dan syarat-syarat itu fleksibel dengan anggaran kadar keuntungan yang diharapkan oleh pelabur kepada wakil yang membuat pelaburan itu.

Contohnya dalam
projek-projek di dalam Investment Account Platform (AIP), kontrak ini banyak
digunakan.

Bank
Muamalat selaku pengurus dana ini akan mengenakan upah Wakalah atau Wakalah
Fee
sebagai upah menjadi wakil mengurus, memantau, dan menyediakan
perkhidmatan berkaitan pelaburan seperti laporan kepada pihak pelabur.

Konsep sama digunakan oleh TH di mana duit pendeposit akan dikumpulkan
kemudian dilaburkan dan hasil pelaburan akan dibahagikan kepada pemilik akaun
TH setelah ditolak upah Wakalah.

Satu lagi institusi pelaburan yang menggunakan kontrak ini adalah
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Bagi yang telah menukarkan akaun KWSP
mereka ke akaun Simpanan Shariah, kita tentunya ingat perjanjian yang kita
persetujui di mana kita melantik KWSP sebagai wakil kita untuk melaburkan duit
simpanan kita untuk persaraan nanti.

Hasil pelaburan dan kadar dividen setelah ditolak upah Wakalah
yang akan diisytiharkan untuk Simpanan Shariah adalah berdasarkan prestasi
sebenar pelaburan patuh Shariah yang diuruskan dan dilaburkan oleh KWSP.

Info lanjut Simpanan Shariah: https://www.kwsp.gov.my/ms/member/simpanan-shariah

Aplikasi Wakalah Dalam Takaful

Selain produk
pelaburan, perkataan Wakalah juga biasa kita dapati dalam produk-produk
Takaful. Upah Wakalah dikenakan kepada pencarum biasanya dalam 5% hasil
caruman sebagai upah kepada syarikat Takaful yang menguruskan caruman kita
bersama caruman-caruman pencarum Takaful yang lain.

Selain daripada itu, syarikat Takaful juga bertanggungjawab melaburkan dana Takaful itu dan memastikan dana tersebut cukup bagi menampung tuntutan-tuntutan akibat kos perubatan atau kematian pencarum kelak.

Disebabkan itu,
upah Wakalah dikenakan.

Di peringkat pengawalselia industry perbankan dan Takaful, pihak Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan garis panduan Wakalah sebagai rujukan kepada industry. Ia menggariskan syarat-syarat serta mekanisme pengurusan kontrak Wakalah oleh pihak kewangan Islam.

Sila rujuk: https://www.bnm.gov.my/index.php?ch=57&pg=137&ac=499&bb=file

Selain daripada
produk perbankan, kontrak Wakalah bil Istismar turut diaplikasikan
secara meluas dalam membuat struktur Sukuk.

Semoga
perkongsian ini membantu kita memahami produk dan kontrak dalam kewangan Islam.

Ditulis
oleh Arham Merican, pegawai
Shariah di salah sebuah bank Islam antarabangsa dan sedang melanjutkan
pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Pengajian Pembangunan. Meminati bidang
ekonomi dan Shariah dengan fokus pada pemberdayaan modal insan.



Source link