Artikel Terkini

Waran (Malaysia) VS Options Trading (Global)


Ramai yang masih keliru nampaknya dengan beberapa istilah dan terma yang ada dalam pelaburan saham. Dan terbaru, ada yang kurang faham berkenaan dengan Waran dan Options Trading – sehingga ada yang merasakan kedua-duanya adalah benda yang sama.

Apa persamaan mereka berdua? Kedua-duanya adalah instrumen derivatif; kontrak kewangan yang digunakan sebagai alat untuk melindung nilai dan macam roti Gardenia, ada expiry date.

Waran (Malaysia)

Waran adalah salah satu instrumen pelaburan yang sah dan dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia melalui Bursa Malaysia.

Pemegang waran tidak layak terima sebarang DIVIDEN, BONUS yang syarikat akan berikan dan tidak layak mengundi bagi sesi mesyuarat agung tahunan syarikat.

Waran terbahagi kepada dua:

1. Waran Syarikat

  • Diterbitkan oleh syarikat dengan tujuan untuk mendapatkan modal tambahan kepada syarikat (konsep macam IPO).
  • Selalunya mempunyai tempoh matang yang panjang iaitu sehingga 10 tahun.
  • Selepas tempoh matang, pelabur ada pilihan untuk tukar kepada saham induk (mother share)

Jika ‘emak’ waran patuh Syariah, biasanya ‘anak’ waran juga patuh Syariah.

Pada penghujung nama saham, ada WA, WB, WC, WD.

Contoh: SERBADK-WA

Serba Dinamik (SERBADK) baru-baru ini bagi waran percuma kepada pemegang saham mereka. Maka waran yang dikeluarkan oleh SERBADK akan menjadi SERBADK-WA, WB, WC dan seterusnya. A, B, dan C menunjukkan waran keberapa yang dikeluarkan oleh SERBADK.

Seperti contoh di atas, SERBADK-WA berharga RM0.185 sen. Jadi minimum pembelian 1 lot bersamaan 100 unit = RM18.50. Esok harga waran naik 1 sen jadi RM0.195 sen, kita pun untung dalam 5.4%

Berbanding dengan mother share SERBADK yang berharga RM1.55 seunit, nak beli 1 lot = RM155. Esok harga naik 1 sen jadi RM1.56, kita pun untung dalam 0.6%

2. Waran Berstruktur (Opsyen Beli)

Walaupun ‘emak’ waran patuh Syariah, ‘anak’ waran tidak patuh Syariah. Kalau ‘emak’ waran tak patuh Syariah, sah-sah ‘anak’ waran pun tidak patuh Syariah.

Pada penghujung nama saham, ada C diikuti dengan nombor.

Contoh: SERBADK-C1, SERBADK C-2, SERBADK C-3

SERBADK-C1 berharga RM0.025 sen. Jadi minimum pembelian 1 lot bersamaan 100 unit = RM2.50. Esok harga waran naik 1 sen jadi RM0.035 sen, kita pun untung dalam 40.0%

Options Trading (Global)

Kalau orang tu sebut dia ‘main’ option, itu maksudnya Options Trading global. Kalau nak tahu Waran pun ada di pasaran saham global, cuma tak berapa popular.

Options ni mirip-mirip macam Waran Berstruktur (3rd party).

Options diterbitkan oleh exchange seperti U.S Chicago Board Options Exchange. Orang kata (bukan kami kata) ini paling popular.

Yang lain seperti:
#2 – Boston Options Exchange
#3 – Montreal Stock Exchange
#4 – Eurex Exchange
#5 – NYSE Arca
#6 – International Securities Exchange (ISE)

Options ni bermaksud kita diberi hak sama ada nak beli atau jual pada harga yang ditetapkan sebelum tarikh luput. Ia membolehkan kita mengambil keuntungan daripada kenaikan harga dengan risiko terhad, dan kos lebih rendah daripada membeli saham induk.

Contoh: Kita beli satu opsyen saham Intel ’25 call’ dengan harga saham semasa $25, dan kita bayar $1. Kemudiannya saham Intel tersebut naik ke paras $28, jadi opsyen kita dah untung sekurang-kurangnya $2 dalam nilai, memberikan kita keuntungan 200%, berbanding kenaikan 12% jika kita beli saham Intel tadi.

Contoh Mudah Faham:

  • Kita baru beli Kereta Honda bernilai $100,000
  • Nak bawa kereta tersebut kena ada Insurans untuk melindungi risiko kereta
    vs
  • Kita baru beli 1,000 Saham Apple pada harga $100 seunit yang bernilai $100,000
  • Kita boleh beli Put Option, untuk melindungi risiko saham

Put Option di sini bermaksud kita beli untuk ‘melindungi risiko’ pembelian saham tersebut.

Senario#1 Put Option

  • Kita beli 100 Saham Apple pada harga $100 seunit yang bernilai $10,000
  • Kita beli Put Option berharga $50, untuk melindungi risiko saham
  • Saham Apple naik menjadi $107 seunit, kita untung $700
  • Tolak kos Put Option berharga $50, jumlah keuntungan menjadi $650

Senario#2 Put Option

  • Kita beli 100 Saham Apple pada harga $100 seunit yang bernilai $10,000
  • Kita beli Put Option berharga $50, untuk melindungi risiko saham
  • Saham Apple turun menjadi $93 seunit, kita rugi $700
  • Disebabkan kita ambil Put Option, kita boleh jual semula saham Apple pada harga $100, jumlah kerugian menjadi $50

Options Trading di sini bermaksud kita tak beli pun saham yang didagangkan di pasaran saham, sebaliknya kita beli ‘risiko’ tersebut.

Options Trading di pasaran global ini tidak patuh Syariah ya, boleh ikuti penjelasan Ustaz Dr Zaharuddin Abd Rahman dalam video ini.

“Elehhh, bank Islamik tu boleh je guna Options?” Sila tonton video sampai habis.

Baca juga Apakah Status Syariah Untuk Options dan CFD?



Source link