Artikel Terkini

Zhong Shanshan, Bilionaire Terkaya Di China Dalam Industri Minuman Dan Farmaseutikal


Siapa sangka dengan menjual air mineral pun boleh berjaya dan menjadi seorang bilionaire, mengatasi Jack Ma yang terkenal dengan syarikat Alibaba. Itulah yang berlaku kepada Zhong Shanshan.

Seperti yang kita sedia maklum, kebanyakan bilionaire yang mendominasi senarai manusia terkaya di dunia adalah di dalam sektor teknologi. Negara China juga tidak terkecuali yang mana kebanyakan bilionaire mereka datangnya dari sektor teknologi.

Tetapi tidak dengan Zhong Shanshan, yang kaya disebabkan perniagaan yang berasaskan produk minuman dan farmaseutikal.

Beliau terkenal di China sebagi lone wolf kerana tidak bergantung kepada sesiapa untuk berjaya. Beliau jarang untuk ditemubual oleh mana-mana stesen televisyen dan tidak menyertai mana-mana pertubuhan kelab bilionaire di China, tidak seperti bilionaire lain yang mempunyai kelab di kalangan mereka.

Asal Usul Zhong Shanshan

Zhong Shanshan dilahirkan pada tahun 1954 dan terpaksa menamatkan persekolahan ketika peringkat darjah lima disebabkan revolusi Negara China yang berlaku. Pada ketika itu, Kerajaan China bertindak ganas terhadap rakyatnya bagi menyebarkan ideologi tersebut.

Ibubapa Zhong Shanshan juga tidak terkecuali menjadi magsa keganasan kerajaan komunis pada ketika itu.

Walaupun hidup di dalam kekejaman, ia tidak melemahkan semangat Zhong Shanshan untuk belajar ke peringkat tertinggi. Ketika berusia 23 tahun, beliau telah memasuki universiti dan dalam masa yang sama bekerja sebagai seorang wartawan untuk surat khabar Zhejiang Daily.

Ketika bekerja sebagai seorang wartawan inilah, yang menyedarkan dirinya bahawa ekonomi China akan berkembang maju pada masa hadapan. Beliau mengetahui perkara tersebut melalui temuramah yang dilakukanya terhadap ramai usahawan di China sepanjang berkerja di sana.

Zhong Shanshan kemudiannya meletak jawatan dan menceburi dunia keusahawanan. Malangnya, beberapa perniagaan beliau tidak berjaya pada mulanya. Walaupun tidak berjaya, beliau tidak pernah berputus asa untuk mencari bidang yang sesuai dengan dirinya.

Akhirnya pada tahun 1993, beliau menemui perniagaan yang dapat memberi keuntungan kepadanya dengan menjadi pembekal suplemen kesihatan di China. Zhong Shanshan telah berjaya membangunkan syarikat yang menghasilkan suplemen di negara tersebut.

Terus Melangkah Lebih Maju

Selepas itu, beliau tidak menoleh ke belakang lagi dalam mengembangkan perniagaannya. Beliau kemudiannya mula mengembangkan perniagaanya dengan menubuhkan lagi satu syarikat iaitu syarikat air minuman yang dikenali sebagai Nongfu Spring.

Syarikat Nongfu Spring ini menjadi syarikat yang terbesar dalam menyediakan air minuman terutamanya jenis air mineral. Masyarakat China yang semakin maju dan amat mementingkan kesihatan telah memilih air mineral ini sebagai air minuman.

Pada tahun 2000, syarikat ini telah mengembangkan lagi perniagaan mereka dengan memperkenalkan kepelbagaian produk minuman untuk syarikat ini.

Selain mempunyai perniagaan minuman, Zhong Shanshan juga merupakan pemegang saham terbesar di dalam syarikat Beijing Wantai Biological Pharmacy dengan pegangan sebanyak 75%. Ketika krisis pandemik masih belum reda, beliau telah melancarkan IPO untuk syarikat farmaseutikalnya itu pada bulan April yang lalu di Shanghai Stock Exchange.

Sambutan yang diterima oleh pelabur sangat menggalakkan disebabkan syarikat itu sedang membangunkan vaksin untuk Covid-19.

Pada bulan lepas pula, Zhong Shanshan turut mengapungkan saham syarikat keduanya iaitu Nongfu Spring di Hong Kong Exchange dan sambutan yang diterimanya juga turut memberangsangkan.

Syarikat minuman tersebut kini bernilai sebanyak $48 bilion dan merupakan salah sebuah syarikat minuman terbesar di dunia daripada segi market capitalization selepas Coca-Cola dan Pepsi.

Hasil kekayaan yang diperolehi oleh Zhong Shanshan selepas mengapungkan kedua syarikat miliknya itu adalah sebanyak $58.7 bilion dan menjadikannya lelaki terkaya di China pada hari ini.

Sumber Rujukan:

Iklan


Iklan



Source link