Artikel Terkini

4 Sebab Mengapa Minyak Mentah WTI Menjadi Serendah Negatif $40 USD Setong


Pasaran dunia dikejutkan dengan kejatuhan harga minyak mentah ke paras negatif pada awal minggu ini sehingga ke paras -US$40 setong. Secara spesifiknya kejatuhan mendadak ini berlaku kepada penanda aras minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) yang didagangkan di Amerika Syarikat.

Bezanya dengan satu lagi penanda aras yang biasa kita dengar iaitu Brent-oil adalah, minyak WTI sumbernya dari Amerika Syarikat terutamanya Texas, Lousiana dan North Dakota. Manakala Brent-oil didapati di Laut Utara antara Pulau Shetland dan Negara Norway. Bukan itu sahaja, terdapat beberapa lagi perbezaan di antara kedua-duanya yang tidak sempat kita bincangkan dalam artikel kali ini.

Berbalik kepada isu kejatuhan WTI hingga ke paras terendah
dalam sejarah, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan hal ini berlaku
antaranya permintaan dan penawaran yang gagal diseimbangkan, kepadatan pusat
penyimpanan minyak mentah dan juga aktiviti spekulator dalam pasaran minyak
mentah.

1. Permintaan Global Merosot Akibat Penularan Covid-19

Kita sedia maklum bahawa penularan wabak Covid-19 telah
menyebabkan permintaan minyak mentah dunia jatuh mendadak. Hampir keseluruhan
negara di dunia memerintahkan kawalan pergerakan atau pun lebih ketat lagi
perintah berkurung bagi membendung wabak ini. Ia secara langsung menyebabkan
aktiviti-aktiviti ekonomi seperti perkilangan, pelancongan, penerbangan,
pengangkutan dan sebagainya tidak dapat dijalankan.

China yang terkenal dengan jolokan ‘enjin pertumbuhan ekonomi dunia’ terpaksa menghentikan sebahagian besar aktiviti ekonominya dalam tempoh Januari hingga Mac. Negara yang berkepadatan penduduk paling tinggi di dunia ini juga merekodkan penurunan mendadak dalam data perjalanan penduduknya dan juga membatalkan penerbangan dari dalam dan keluar negara.

Dalam data yang dikeluarkan pada 17 April, China buat pertama
kalinya merekodkan kemelesetan ekonomi sejak suku pertama tahun 1992 apabila
keluaran dalam negara kasar (KDNK) mencatat pertumbuhan negatif 6.8%.

Bacaan ini sudah cukup menggambarkan bagaimana aktiviti
ekonomi di negara itu terhenti disebabkan kebimbangan terhadap penularan wabak
Covid-19. Ia sekaligus memberi kesan kepada permintaan minyak mentah dunia yang
mana China adalah pengguna minyak mentah ketiga terbesar dunia di belakang
Amerika Syarikat dan Eropah.

Amerika Syarikat dan Eropah yang berada dalam tempoh sukar ketika ini sudah pasti memburukkan lagi keadaan dalam pasaran minyak mentah. Walaupun ekonomi China kini telah dibuka secara berperingkat disebabkan kejayaan mereka membendung wabak Covid-19, tetapi ia perlu bergantung kepada permintaan barangan dari seluruh dunia yang kini masih berhadapan tempoh sukar.

2. Lambakan Bekalan Gagal Diatasi Oleh OPEC+

Kejatuhan mendadak harga minyak mentah mungkin tidak akan
berlaku jika pengeluar-pengeluar minyak mentah berjaya mengimbangi kejatuhan
permintaan dengan mengurangkan pengeluaran mereka.

Penganalisa mengunjurkan permintaan global merosot sebanyak
30 juta tong daripada paras biasa 100 juta tong sehari disebabkan penularan
wabak koronavirus.

Ia tidak diimbangi dengan serius terutamanya oleh negara-negara OPEC, Russia
dan Amerika Syarikat.

Walaupun OPEC dan Russia bakal mengurangkan pengeluaran
sebanyak 10 juta tong sehari bermula bulan Mei, harga minyak terus jatuh kerana
pasaran merasakan ia masih tidak dapat megimbangi pengurangan permintaan
sebanyak 30 juta tong.

OPEC seharusnya tidak dipersalahkan dalam hal ini kerana ia
hanya mewakili 30% daripada pengeluaran dunia. OPEC dan Russia adalah dua
entiti yang telah lama bekerjasama untuk menaikkan harga minyak mentah dikala
harga jatuh merudum.

Sejak 2016, OPEC dan Russia telah bersetuju sebanyak tiga
kali untuk memotong pengeluaran minyak mentah. 
Dalam tempoh itu juga, Amerika Syarikat menjadi pengeluar terbesar dunia
dengan jumlah tertinggi direkodkan adalah 13.1 juta tong sehari.

3. Kepadatan Pusat Penyimpanan Minyak Mentah WTI

Dengan lambakan bekalan minyak mentah yang ada di pasaran,
lebihan bekalan yang ada perlu disimpan di pusat penyimpanan. Masalahnya
bagi minyak WTI, kapasiti pusat penyimpanan di Amerika Syarikat adalah terhad
khususnya di Cushing, Oklahoma
disebabkan pengeluaran yang tidak terkawal
ditambah pula dengan permintaan yang merudum.

Cushing yang merupakan hab penyimpanan minyak mentah di AS
telah menyimpan lebih daripada 15 juta tong minyak mentah sejak beberapa bulan
lalu. Kini data terbaru menunjukkan 70% daripada kapasiti di pusat tersebut
telah penuh iaitu 53 juta tong daripada kapasiti penuh 76 juta.

Walaupun masih ada 30% ruang yang boleh diisi, tetapi ia
telah ditempah oleh pengeluar dan pedagang yang mana akan dipenuhkan dalam masa
terdekat. Penganalisa berpendapat hub penyimpanan di Cushing bakal penuh pada
pertengahan bulan Mei.

Ketiadaan ruang untuk menyimpan minyak mentah fizikal yang
dibeli menambah lagi tekanan kepada minyak WTI dan mengurangkan citarasa
pembeli kepada komoditi tersebut.

4. Aktiviti Spekulator Harga Minyak Mentah WTI

Kebanyakan daripada pemain pasaran bukanlah dari kalangan
pedagang fizikal yang menguruskan pengangkutan minyak yang mereka beli. Mereka
ini adalah pedagang yang cuba membuat keuntungan daripada naik-turun harga
komoditi ini tanpa mendapatkan minyak mentah dalam bentuk fizikal.

Mereka sama seperti pedagang dalam pasaran saham yang membeli
dan menjual saham. Bezanya di sini, minyak mentah diniagakan dalam bentuk
‘kontrak hadapan’ (futures contract). Bayar hari ini dapat minyak mentah
yang dibeli pada bulan hadapan.

Kebanyakan spekulator akan mengelak daripada mendapat minyak
mentah fizikal dengan menjual kontrak hadapan yang mereka beli sebelum tarikh
luput kontrak itu tiba.

Ia seperti yang berlaku pada sesi dagangan hari Isnin (20
April 2020) di mana penanda aras WTI jatuh ke paras negatif US$40 setong. Kenapa
hal ini berlaku?
Perlu diingat pasaran ini berlaku dalam bentuk fizikal di
mana penjual akan menghantar minyak mentah kepada pembeli dalam bentuk fizikal.

Bagi spekulator yang tidak berniat untuk menggunakan minyak
mentah tersebut, mereka perlu menjual semula kontrak yang mereka beli sebelum
tarikh luput bagi mengelak daripada menerima ribuan tong minyak mentah dihantar
kepada mereka.

Bagi setiap kontrak terdapat 1,000 tong minyak mentah.
Bayangkan jika spekulator tersebut membeli 10 kontrak, di manakah ia perlu
disimpan atau dihantar jika beliau tidak melepaskan kontrak tersebut sebelum
tarikh luput.

Dengan pusat penyimpanan yang sudah penuh seperti di Cushing,
Oklahoma, spekulator ini terpaksa melepaskan kontrak minyak mentah yang mereka
beli dalam apa jua harga sekalipun.

Disebabkan masa yang begitu suntuk kerana tarikh luput
kontrak bulan Mei bakal tiba pada keesokan hari Selasa (21 April) waktu Amerika
Syarikat, dagangan minyak WTI jatuh sehingga paras negatif pada hari Isnin (20
April).

Ini bermakna spekulator melepaskan kontrak mereka dalam apa
jua harga bagi mengelak menerima komoditi tersebut dalam bentuk fizikal. Harga
negatif US$40 disini bermaksud, mereka yang menjual kontrak tersebut perlu
membayar orang yang membeli pada harga US$40 setong.

Walaubagaimanapun, ini tidak bermakna harga WTI kekal di
paras negatif kerana pasaran hadapan bagi kontrak bulan Jun dan seterusnya
masih berada di paras positif. Untuk kontrak-kontrak minyak mentah WTI bulan
Jun 2020 dan seterusnya anda boleh lihat seperti dalam jadual di bawah. Harga
tersebut adalah setakat pada hari Rabu (22 April 2020).

Jadual harga kontrak bulanan WTI. Sumber: barchart.com

Sumber Rujukan:

Disediakan oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini berkhidmat di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.



Source link