Artikel Terkini

5 Perbezaan Pelabur Dengan Pedagang Saham


Cuba tanya diri sendiri, nak untung 30% setahun atau 30% sebulan? Atau nak untung 100% dalam masa 5 tahun?

Nak cepat buat duit jadilah seorang pedagang saham. Malas nak pening-pening jadilah seorang pelabur saham.

Kalau tengah google tercari-cari apa perbezaan antara pelabur saham dengan pedagang saham, ini ada 5 perbezaannya mengikut pemahaman kami.

1. Jual Beli Durian vs Tanam Pokok Durian

Pedagang ni sama macam orang meniaga. Peniaga pasar malam ke, pasar tani ke, pasar borong atau pasar online.

Kalau buah durian tengah trending, dia akan beli durian. Dia akan jual semula dekat orang lain dengan harga lebih mahal.

Dia meniaga ikut mood. Kadang-kadang hari-hari, kadang-kadang seminggu sekali.

Itulah pedagang.

Pelabur ni lain.

Pelabur ni dia ibarat dia beli benih dan tanam pokok durian.

Tuan tanah dan pekebun akan uruskan tentang segala macam penjagaan pokok, pembajaan, pengairan dan semua lah.

Lepas 5 tahun tiba masa pokok untuk pokok berbuah, masa itu lah kita boleh jual hasil dia. Kalau ada rezeki berbuah lah 100 biji, kalau tak mungkin 50 biji.

Tapi tak semestinya durian. Kalau tak suka pokok durian, boleh pilih untuk tanam pokok strawberi, lebih cepat berbuah. Tak ada siapa nak marah.

Melabur dan berdagang ni objektifnya sama; nak memperoleh keuntungan dari pasaran saham, tetapi dengan cara yang berbeza.

2. Berdepan Musuh Yang Sama Tetapi Tidak Serupa

Kedua-duanya ada musuh yang tak nampak iaitu risiko. Walau bagaimanapun, risiko utama pedagang dan pelabur tidak serupa.

Sebagai pelabur, antara risiko utama adalah apabila ada perubahan yang mendadak kepada ekonomi. Contohnya masa COVID-19 orang tak boleh pergi travel sana sini. Maka perniagaan yang berasaskan pelancongan rugi teruk. Dalam keadaan panik biasanya orang akan berpusu-pusu jual saham sebab takut harga saham jatuh.

Pedagang pula, risiko utamanya adalah kantoi dalam mengawal emosi.

Contohnya harga beli saham RM1, dah buat target jual RM1.30 tetapi bila harga dah naik sampai RM1.50 pun belum jual, terketar-ketar tangan sebab pasang harapan harga dia akan naik lagi. Akhirnya harga dia terus turun jadi RM0.90.

3. Skil Berbeza

Pedagang adalah individu yang mahir dari segi teknikal. Dia mampu baca pasang surut pasaran saham. Ala-ala doktor pakar sakit jiwa yang mampu memahami psikologi manusia.

Pelabur sebaliknya adalah pakar dalam seni perniagaan.

Insha-Allah dua-dua ilmu atau skil ini boleh diwariskan dekat anak cucu.

4. Spesis Berbeza

Pelabur biasanya spesis manusia yang berpandangan jauh dan sangat berhati-hati. Jiwa kena kental walaupun harga saham sedang jatuh.

Pedagang pula ada beberapa spesis.

i) Scalper / Momentum Trader

Mereka yang dikenali sebagai Scalper ini sangat licik, dan sangat suka ambil risiko. Beli pukul 10, jual 10.30. Beli tengahari, jual petang. Kalau nak belajar ilmu ni kena berguru dengan yang pakar momentum trading.

ii) Day Trader

Spesis samada beli pagi dan jual pada sebelah petangnya; atau pun beli petang dan jual pada keesokan harinya.

iii) Swing Trader

Seorang Swing Trader pula beli ikut trend. Mereka beli dan simpan untuk beberapa hari, biasanya setelah mencapai sasaran mereka atau jika saham bergerak agak perlahan; mereka akan jual dan tukar kepada saham lain.

iv) Position Trader

Bagi Position Trader pula, mereka beli untuk berbulan lamanya – kebiasaannya 3-6 bulan dan kurang daripada setahun. Mereka kurang mengambil risiko berbanding pedagang-pedagang yang lain, dan tidak kisah jika modal ‘tersangkut’ untuk jangka masa panjang.

Harapnya jelas.

Kenali diri sendiri dan buatlah duit dalam pasaran saham mengikut siapa diri anda, dan bukannya terikut-ikut orang lain. Zaman moden ni semua benda dah mudah, nak jadi hybrid (investor cum trader) pun tiada masalah.

Kalau tak faham tak apa. Pelan-pelan kayuh. Cari guru belajar.

Kami doakan semoga anda berjaya dalam dunia pasaran saham.



Source link